Monday, January 11, 2010

My dad and mum..

Formula baru ‘terapi sikap’


DR. ARIFFAIZAL Mohd. Nor Ariffin dan isterinya, Dr. Aishah Arridza Mukhlas menunjukkan sebahagian formula rawatan alternatif di Pusat Rawatan Colour Vibration Therapy di Taman Rapat Setia Baru, baru-baru ini.


IPOH 3 Nov. – Setiap penyakit dan sikap seseorang itu mempunyai kaitan antara satu sama lain kerana keduanya saling mempengaruhi. Ini bermakna, seseorang itu akan menunjukkan sikap negatif tertentu sekiranya ada organ yang bermasalah dan begitu juga sebaliknya.

Itulah falsafah ‘terapi sikap’ iaitu formula baru rawatan alternatif diperkenalkan oleh Prof. Dr. Ariffaizal Mohd. Nor Ariffin yang berpengalaman kira-kira 10 tahun dalam bidang tersebut.

Ariffaizal berkata, kaedah tersebut merupakan rawatan secara holistik kerana turut merangkumi aspek mental serta spiritual pesakit dan tidak melihat tubuh manusia daripada aspek fizikal semata-mata.

‘‘Menerusi terapi sikap, pesakit tidak hanya diberikan ubat tetapi turut diberikan kaunseling untuk mengubah sikap negatif mereka bagi membantu mempercepatkan penyembuhan penyakit.

‘‘Ini merupakan kaedah rawatan dalaman dan ia boleh digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan lemah tenaga batin,” katanya ketika ditemui di Pusat Rawatan Colour Vibration Therapy di sini baru-baru ini.

Beliau yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang rawatan alternatif Terapi Gelombang Warna bergiat aktif sebagai saintis dalam penyelidikan perubatan alternatif sejak 1999.

Menurut pakar terapi gelombang itu, pengetahuannya terhadap punca penyakit banyak membantu dalam merawat pesakit menggunakan kaedah ini.

Katanya, setiap organ mempunyai falsafahnya sendiri dan ia mempunyai pertalian dengan sikap seseorang individu.

‘‘Saya boleh mengetahui seseorang itu menghidap penyakit apa dengan mengetahui sikap-sikap negatifnya. Saya juga boleh mengetahui sikap seseorang dengan mengetahui penyakit dihidapinya,” katanya.

Kaedah tersebut katanya, sebenarnya dikembangkan daripada teknik rawatan Terapi Gelombang Warna yang popular di kalangan pengamal perubatan lain di seluruh dunia.

Cuma bezanya, teknik tersebut melihat punca dan merawat penyakit dari sudut yang lebih luas dan secara menyeluruh.

‘‘Ini merupakan rawatan perubatan alternatif terbaru yang saya perkenalkan dan tidak ramai yang boleh menghuraikan sifat-sifat setiap organ dengan menyeluruh seperti saya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ariffaizal berkata, kaedah tersebut diguna pakai selepas beliau mengesan penyakit seseorang pesakit dengan teknik kinesiologi dan gelombang warna.




‘‘Daripada teknik ini, saya dapat tahu organ mana yang lemah dan punca kepada penyakit yang dihadapi pesakit.

‘‘Ini merupakan rahsia rawatan alternatif boleh merawat sesuatu penyakit dengan mudah terutamanya penyakit kronik kerana ia merawat penyakit dari puncanya.

‘‘Sel-sel memerlukan tenaga untuk mengambil nutrisi dan hanya gelombang yang dapat memberikan sel tenaga,” kata beliau yang begitu mesra dengan setiap pesakitnya.

Menurut Ariffaizal, setakat ini, sudah ramai pesakit kronik termasuk yang terlantar di rumah sudah berjaya disembuhkan menerusi kaedah yang digunakannya itu.

Menarik mengenai Ariffaizal ialah beliau tidak lokek berkongsi ilmu dan mampu meyakinkan orang ramai dengan huraiannya terhadap setiap persoalan yang dibangkitkan.

Selain menerima kedatangan pesakit di premis perniagaannya yang dibuka 24 jam setiap hari, beliau turut membantu merawat pesakit secara dalam talian tanpa perlu bersemuka.

Ariffaizal berkata, setakat ini, beliau sudah merawat ramai pesakit menerusi Internet termasuk dari Ireland, Jepun, Mesir serta Singapura.

Salah seorang pelanggannya, Siti Syawali Ibrahim, 30, dari Kluang, Johor berkata, dia hanya berhubung dengan Ariffaizal menerusi Internet selepas secara tidak sengaja terjumpa laman web beliau.

Katanya, hatinya terus terpaut pada laman web tersebut selepas mendapati Ariffaizal tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan sentiasa mempunyai jawapan kepada apa jua soalan yang ditanya.

‘‘Hari ini baru saya datang untuk berjumpa dengan doktor kerana hendak tahu macam mana beliau berjaya menyembuhkan penyakit kencing manis dan lutut emak saya yang patah dalam tempoh empat bulan sahaja,” katanya.

Seorang lagi pesakit, Shairul Latif Salehudin, 32, berkata, dia mula mengamalkan pengambilan ubatan dan petua yang diberikan oleh Ariffaizal sejak tiga tahun lalu.

‘‘Alhamdulillah, ubat-ubat yang diberikan oleh Ariffaizal boleh menghilangkan tekanan dan anak saya juga tidak lagi mengalami masalah resdung yang teruk,” katanya yang kini mula mempelajari rawatan alternatif dengan Ariffaizal.

Shairul berkata, ‘ubat’ atau formula tersebut juga tidak mahal dan mampu bertahan lama berbanding ubat moden.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan rawatan atau mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh berkunjung ke Pusat Rawatan Colour Vibration Therapy di alamat No 14 Lebuh Wira Jaya, Taman Rapat Setia Baru, 31350 Ipoh atau menghubungi beliau di talian 012-4008972 atau 05-3115859.

Ariffaizal juga boleh dihubungi menerusi laman web http://www.rawatankesihatan.com atau boleh menambah alamat emel beliau ariffaizal6@yahoo.com sebagai kenalan Yahoo Messenger.