BAB 6 Pertemuan Ketiga
Isabella menjadi salah seorang peserta yang cukup besar minatnya di dalam perbincangan teologi itu. Selama perbincangan itu berlangsung, fikirannya menjadi penuh dengan perkara-perkara yang dibincangkan. Dia sudah tidak menghiraukan lagi segala aktiviti yang lain. Semua janji dibatalkannya, masalah-masalah sosial yang mengusutkan ditolak ke tepi. Setiap kali para paderi itu tidak dapat menjawab pertanyaan Umar Lahmi, Isabella membuat kesimpulan sendiri bahwa mereka memang tidak mempunyai jawaban dan kepercayaannya terhadap agama Kristian pun mulai goyah sedikit demi sedikit. Dalam ingatannya, terbayang dengan jelas peristiwa yang berlaku di rumahnya ketika bapanya berhadapan dengan Umar Lahmi.
Umar Lahmi bersama dengan beberapa orang sahabatnya telah datang ke rumah ketua paderi sesuai dengan perjanjian mereka waktu pertemuan di gereja besar. Paderi-paderi yang lain dan beberapa orang kenamaan dalam kalangan penganut Kristian juga ikut diundang. Ketibaan Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya pada pagi itu telah disambut dengan penuh hormat. Mereka ditempatkan di sebuah bilik yang berasingan dan dijamu dengan minuman serta kuih-muih yang lazat citarasanya.
Sebuah ruang telah disiapkan untuk perbincangan yang penting itu. Umar Lahmi dengan beberapa orang pengiringnya duduk berhadapan dengan empat puluh orang cendekiawan Kristian yang hebat-hebat. Isabella dengan teman-temannya serta beberapa orang wanita lain duduk di bilik sebelah.
Setelah semua duduk dengan selesa, ketua paderi berkata kepada Umar Lahmi, "Saya sudah tahu akan pertanyaan yang tuan mahu kemukakan teapi saya tidak mahu berbicara secara terperinci dan memanjangkan perbincangan ini. Saya cuma akan bercakap sepatah dua saja yang boleh mencapai tujuannya dalam beberapa minit. Apa yang saya maksudkan ialah Islam dan Kristian akan diuji tentang ajaran-ajaran dasarnya dan agama yang dapat memperlihatkan ajaran-ajaran yang terbaik, itulah agama yang benar. Bukankah begitu?"
"Saya tidak ada bantahan apa-apa dan saya bersedia untuk membincangkan tiap-tiap garis yang tuan pilih," kata Umar Lahmi, "memang benar hanya melalui ajaran sajalah Kristian dan Islam itu dapat diketahui benar atau palsunya."
"Bagus, bagus!" ujar ketua paderi dengan suara gembira. "Sudah tentu pertolongan Roh Kudus berada di pihak tuan dan tuan segera akan dipimpin keluar dari lorong yang salah masuk ke lorong yang benar. Nah, sekarang tuan telah bersetuju dengan garis yang saya cadangkan, saya ingin menyatakan bahwa dalam tiap-tiap agama ada dasar-dasar prinsip dan perkara-perkara yang terperinci. Saya mahu meletakkan di hadapan tuan inti dasar agama Kristian yang tidak lebih dari sepatah perkataan dan sebagai balasannya tuan juga mesti memberikan inti dasar agama tuan dengan sepatah perkataan juga. Tuan bersetuju?"
"Silakan! Saya bersetuju saja dengan cadangan tuan." jawab Umar Lahmi.
Ketua paderi itu berpaling kepada paderi-paderi lain dan berkata, "Cuba lihat! Beginilah caranya berbincang cuma dengan sepatah perkataan saja isu dapat diputuskan." Kemudian dia menoleh semula kepada Umar Lahmi, "Nah, sekarang dengar baik-baik. Inti dasar agama Kristian ialah kasih. Dengan sepatah perkataan ini saja agama Kristian telah disingkatkan. Sekarang giliran tuan pula memberikan inti dasar agama Islam dengan sepatah perkataan juga."
"Saya merasa bangga untuk menyatakan bahwa Islam telah meringkaskan inti dasar ajarannya dengan satu perkataan saja yang meliputi semua dasar prinsip dan perkara-perkara yang terperinci. Akar prinsip Islam dan ajarannya ialah Tauhid." kata Umar Lahmi.
"Kalau inti dasar Islam itu tauhid maka kasih tidak termasuk ke dalamnya. Selain daripada itu, kami juga mengatakan tauhid* sebagai inti agama kami." ujar ketua paderi itu. * dalam terjemahan 'Tauhid' disebut 'unity'. Erti tauhid ialah kesaksian akan keesaan Allah.
"Kalau tauhid menjadi inti dasar agama tuan, tuan harus mengetengahkannya. Kenapa pula tuan katakan kasih sebagai dasar agama tuan? Dan amat salah mengatakan dengan menerima tauhid sebagai inti dasar agama kasih terkeluar daripadanya. Sebaliknya menurut kenyataan bahwa kasih itu datang dari tauhid. Kalau tauhid tidak diambil dengan segala aspeknya maka kasih menjadi perkataan yang tidak bermakna. Untuk menerima kasih sebagai inti dasar agama bererti penolakan total terhadap tauhid atau menidakkannya sebagai inti dasar agama." jawab Umar Lahmi.
Ketua paderi itu menyambut jawaban Umar Lahmi itu dengan mengatakan, "Pokoknya ialah tauhid itu datang dari kasih dan bukan kasih dari tauhid."
"Itu suatu logika yang salah. Kalau tauhid datang dari kasih maka kasih menjadi perkataan yang tidak bermakna. Kerana tanpa tauhid, yakni kesaksian akan keesaan. Allah akan menidakkan kasih akan Allah yang sebenarnya kerana kasihkan Allah bergantung kepada ilmu tentang ketuhanan, dan ketauhidan merupakan pengakuan yang hakiki akan Allah. Dengan hanya kasih saja belum lagi menjadi bukti kasihkan Allah."
Umar Lahmi menghujah kata-kata paderi tua itu.
"Tuan telah memulakan perbincangan panjang. Apa yang saya maksudkan ialah kasih tidak ada tempat dalam Islam." ujar ketua paderi itu.
"Kalau kasih tidak ada tempat di dalam Islam," sahut Umar Lahmi dengan cepat, "maka bererti bahwa kasih tidak wujud sama sekali di dalam dunia ini. Walau bagaimanapun benarnya kata-kata tuan itu tetapi tidak ada sedikit juga kesan-kesan kasih dalam agama Kristian. Kasih cuma permainan bibir. Tidak ada ukuran dan tidak ada bukti."
Ketua paderi itu mula meradang. Air mukanya berubah.
"Begini! Sudah menjadi cogankata yang terkenal di dalam kitab kami bahwa Tuhan ialah kasih. Bukankah ini bukti tentang kasih itu?"
"Cuma pengakuan mulut saja," kata Umar Lahmi, "kecuali ada ukuran kasih itu. Teori kasih yang dikatakan itu tidak dapat diterima."
"Kini tuan membuat definisi tentang kasih pula. Bukankah dalam kitab kami ada disebutkan Tuhan bapa? Bukankah bapa itu mengasihi anak-anaknya?"
Umar Lahmi juga sudah mula gusar. Lalu dijawabnya, "Pokoknya, hanya dengan berulang-ulang menyebut perkataan kasih saja kita tidak akan sampai ke mana-mana kecuali semua syaratnya dipenuhi. Jikalau seseorang itu mengasihi seseorang lain maka dia harus membuktikan dengan pengorbanan diri dan hartabendanya dan barulah dapat dikatakan kasih yang sejati. Oleh sebab itulah Islam telah menentukan ketaatan dan amalan sebagai kriteria kasih yang dengan lain perkataan disebut pengorbanan diri dan hartabenda. Dalam AlQuran Allah berfirman kepada Nabi Muhammad "Katakanlah jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah akan daku agar kamu dikasihi oleh Allah dan diampuni dosa-dosamu; dan Allah Maha Pengampun lagi sentiasa mencurahkan rahmatNya. Katakanlah! Taatlah akan Allah dan RasulNya. Jika mereka tetap berpaling maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir*. Ayat ini telah memberikan ketentuan tentang ukuran kasih yang membezakan antara kasih sejati dengan kasih palsu. Tetapi di dalam agama tuan tidak ada kriteria kasih ini. Sesiapa saja yang munafik boleh bangun berdiri dan berkata dia kasihkan Allah."
* AlQuran, surat Al-Imran : 32-32
"Tuan mulai lagi perbahasan yang panjang. Saya mahu segala sesuatu itu meliputi banyak hal supaya keputusan dapat dicapai segera. Bagaimanapun, jikalau Quran tuan juga ada menyebut Tuhan bapa maka mana satu tingkat kasih yang paling tinggi?" ketua paderi bertanya.
"Kalau AlQuran menggunakan perkataan bapa untuk Tuhan maka itulah bukti yang paling besar akan ketidaksempurnaannya. Islam tidak pernah menggunakan perkataan yang mengelirukan ini untuk Tuhan tetapi sebaliknya ia ada menggunakan perkataan-perkataan yang lebih agung ertinya dibandingkan dengan perkataan bapa." jawab Umar Lahmi.
"Mulut tuan terlalu lancang mengatakan perkataan bapa itu mengelirukan."
Nada suara ketua paderi agak meninggi kerana dipengaruhi oleh perasaan marah.
"Cuba beritahu saya cepat apa perkataan yang digunakan oleh orang Islam sebagai ganti yang lebih baik daripada perkataan bapa?"
Melihat kemarahan ketua paderi itu, Umar Lahmi dengan tenang berkata, "Tidak ada sebab untuk naik darah. Saya mengatakan perkataan bapa itu mengelirukan kerana ia menjadi dasar tugas sekutu Allah. Tuan juga percaya kepada ketuhanan Kristus. Tentang perkataan yang lebih baik sebagai ganti perkataan bapa kami orang Muslim menggunakan perkataan Rab yang secara tidak langsung menyatakan ia zat yang memelihara kita dari awal sampai akhir dan pemeliharaanNya tidak pernah terhenti. Jadi dengan menggunakan perkataan Rab, Islam telah mengajarkan bahwa pemeliharaan kasih Allah terus menerus ada. Tetapi konsep bapa membawa makna bahwa bapa itu akan mengasuh anaknya sampai kepada satu waktu yang tertentu saja setelah itu dia tidak ambil peduli lagi. Selain daripada itu seorang bapa hanya dapat memelihara anak-anaknya dalam perkara-perkara opsional saja tidak dalam perkara-perkara di luar dari keupayaannya. Sebagai contoh kalau anak itu jatuh sakit, bapa tidak dapat menyembuhkan penyakit itu sementara orang di dalam pemeliharaan Allah adalah sebaliknya kerana Dia mempunyai kuasa atas segala sesuatu dan Maha Berkuasa. PemeliharaanNya kekal abadi. Ini membuktikan bahwa perkataan pemeliharaan adalah lebih sesuai dengan martabat Allah daripada perkataan bapa. Lagi pula perkataan pemeliharaan menunjukkan 'Keesaan Allah' sementara perkataan bapa pula menjadi punca menugaskan seorang sebagai sekutu kepada Allah di dalam dunia."
Ketua paderi itu kelihatan gelisah mendengar hujah Umar Lahmi tetapi dia cuba juga untuk menjawabnya dengan berkata, "Pengaruh pemeliharaan yang tuan katakan itu tidak dapat dibuktikan di dunia ini. Tuan tidak boleh menutup mata terhadap kasih bapa. Jadi, bagaimana orang dapat menerima perkataan yang tidak ada erti dan tidak ada bukti di dunia ini. Tuan tidak boleh menolak pengaruh kasih bapa."
"Malang sekali kepercayaan tuan kepada penebusan dosa telah menutupi pemandangan tuan, kalau tidak tentulah tuan tidak akan berkata serupa itu." kata Umar Lahmi.
"Tiap-tiap hari kita melihat anak kecil dipelihara dalam rahim ibunya. Kanak-kanak, orang remaja, orang dewasa terus menerus dipelihara. Pemerliharaan itu berterusan dari awal sampai akhir. Bukankah itu pekerjaan Rab yang kita saksikan setiap hari?"
"Kitab Suci Injil mengatakan bahwa Tuhan mempunyai kasih yang sedemikian rupa terhadap manusia di dunia ini sehingga Dia mengorbankan putera satu-satunya untuk menyelamatkan manusia. Apakah lagi bukti yang lebih baik tentang kasih bapa yang telah mengorbankan anak yang dikasihinya kerana kasih?" kata ketua paderi.
"Keterangan dari Injil itu sendiri telah membantah dakwaan tuan. Tuan maksudkan bahwa bapa itulah yang mengorbankan anaknya yang suci bersih demi manusia yang kotor dan penuh dosa," kata Umar Lahmi, "itulah pernyataan kasih bapa yang ditunjukkan dengan membunuh anaknya yang tidak bersalah? Tetapi Rab tetap berlaku adil kepada sesiapa saja. Sebaliknya Dia menghukum orang yang zalim. AlQuran dalam surat Al-An'am ayat 164 mengatakan 'Dan tiada seseorang yang berdosa memikul dosa orang lain'. Tetapi bapa tuan membunuh anak sendiri. Jikalau menyalib dan membunuh anak sendiri yang tidak berslaah dan tidak berdosa dikatakan kasih, maka kita tidak akan menyebutnya lagi sebagai kasih."
Ketua paderi berpaling kepada paderi-paderi lain sambil berkata, "Saya fikir orang ini cenderung kepada Jesus Kristus tetapi rupanya dia seorang pemungkar yang gigih. Semua yang telah saya katakan ialah perkara-perkara tinggi tetapi bagaimana orang-orang ini dapat memahaminya?"
Kemudian dia memandang Umar Lahmi, "Hati tuan sudah tertutup. Kristus tidak bersedia menerima tuan. Sekarang baiklah tuan pergi jauh dari sini. saya tidak mahu lagi berurusan dengan tuan. Tuan kemari hanya menggusarkan saya saja."
Kemudian dia berkata kepada paderi-paderi yang lain. "Kalian juga jangan lagi berurusan dengan orang-orang ini. Kalian sudah melihat betapa mereka sangat keras kepala. Tidak dapat menyetujui apa pun juga."
"Tapi tuan ..." Umar Lahmi mahu membantah.
"Tutup mulut tuan." Ketua paderi membentak. "Saya sudah tahu akan tujuan tuan datang ke mari dan tentang apa yang tuan mahu berbincang dengan kami."
Sambil mengucapkan kata-kata itu, ketua paderi memperlihatkan tatakrama Kristian. Dia terus bangun dan meninggalkan tamu-tamunya lalu naik ke bilik di tingkat atas. Melihat keangkuhan ketua paderi itu, Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya lalu bangun dan dengan suara kuat berkata, "Nasrum-min-a-Allahi wa fat-hunqarib*"
* pertolongan dari Allah dan kemenangan yang sudah dekat - surat Ash-Shaf :13
Mereka semua lalu keluar meninggalkan rumah ketua paderi sambil terus mengucapkan kata-kata itu berulang-ulang disaksikan oleh paderi-paderi dan hadirin yang lain yang masih belum hilang perasaan terkejut kerana sikap ketua suci mereka yang tiba-tiba saja meninggalkan perbincangan itu. Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya lalu berpisah, menuju ke rumah masing-masing.
Pada petang itu, Isabella bertemu semula dengan sahabat-sahabatnya di taman yang selalu mereka kunjungi. Mereka tidak duduk di tempat biasa, khuatir bertemu dengan Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya. Mereka berasa malu dengan sikap bapa Isabella yang sangat-sangat mereka hormati. Dalam pertemuan itu mereka bercakap tentang perbahasan yang telah berlaku pada pagi itu. Berbagai-bagai macam komen, pro dan kontra mereka keluarkan. Isabella lebih banyak mendengar. Perasaan dan fikirannya sarat dengan berbagai-bagai macam persoalan. Kepercayaannya kepada agama Kristian mulai mendapat godaan. Daripada hujah-hujah yang dikemukakan oleh Umar Lahmi, dia dapat melihat walaupun belum begitu yakin bahwa agama Kristian hampir menyerupai satu kepura-puraan yang tidak mempunyai dasar atau prinsip.
Waktu perbincangan awal dulu, Isabella berpendapat Peter dan Michael serta paderi-paderi yang lain itu tidak begitu dalam ilmunya sehingga mereka tidak dapat mematahkan hujah-hujah Umar Lahmi. Pada masa itu dia yakin dengan sepenuh hati akan bapanya, ketua paderi, dapat dengan mudah mengalahkan orang-orang Muslim itu kerana bapanya terkenal sebagai seorang yang alim dalam selok-belok agama Kristian. Kalau orang-orang seperti Michael dan Peter tidak dapat menundukkan Umar Lahmi, bapanya sudah tentu dalam waktu yang singkat dapat menutup mulutnya. Tetapi setelah mendengar perbincangan pada pagi itu maka dia sungguh amat kecewa terhadap bapanya. Kekecewaannya itu menjadi makin pedih apabila bapanya mengusir orang-orang Muslim itu pulang dan dengan angkuh meninggalkan majlis dan para tamu. Daripada kejadian itu terfikir olehnya bahwa dasar agama Kristian tidak lebih daripada semacam sarang labah-labah.
Sahabat-sahabat Isabella merasa gundah dengan sikapnya yang tidak banyak bercakap dan ketawa seperti biasa. Dia lebih banyak tenggelam dalam fikirannya sendiri tetapi mereka tidak berani bertanya. Mereka membiarkan dia terus dalam keadaan begitu dengan sangkaan akan berubah apabila peristiwa pagi itu dapat dilupakan.
Sedikit demi sedikit, Isabella mulai renggang daripada sahabat-sahabatnya. Dia kini lebih banyak menyendiri dan menumpukan perhatiannya kepada mempelajari isi Kitab Inji dan AlQuran. Dia membuat perbandingan untuk mencari yang mana satu di antara kedua agama itu mempunyai unsur-unsur kebenaran yang banyak dan yang mana pula berisi dengan khurafat. Dia mengukur perbandingan itu dengan menumpukan fikirannya kepada masalah-masalah tauhid, kerasulan, Kitab Suci AlQuran, salam, penebusan dosa, pengantaraan, erti dosa, tindakan manusia dan akibatnya.
Sudah sebulan masa berlalu dari tarikh pertemuan antara bapa Isabella dengan Umar Lahmi. Dalam masa itu Isabella secara bersembunyi telah beberapa kali menemui Umar Lahmi untuk mendapat penerangan yang lebih lanjut tentang masalah-masalah yang dihadapinya ketika membuat kajian perbandingan antara Islam dan Kristian. Isabella sudah mulai menundukkan kepalanya kepada Islam dan dia bukan lagi penganut Kristian yang taat. Tetapi untuk menukar agama merupakan satu masalah besar baginya. Fikirannya terganggu apabila datang keinginan untuk meninggalkan agama yang telah dianutinya sejak dia lahir ke dunia ini. Betapa besar cubaan dan godaan yang harus dihadapinya jika dia menyeberang ke agama Islam. Bapa, ibu, saudara-saudara perempuan dan kaum kerabat terpaksa ditinggalkannya dan betapa pula keadaan hidupnya di hari depan. Pada masa itu terlintas fikiran lain di kepalanya, cubaan dan godaan harus dihadapi di dalam mencapai jalan kebenaran dan setelah mengenali kebenaran, tentulah dia akan hina di hadapan Allah kalau dia tidak berterus-terang mengakuiNya.
BAB 7 Cendekiawan Islam
Kisah ini berlaku ketika pemerintah Islam di Sepanyol mulai membina masjid dan sekolah di seluruh negeri. Para cendekiawan dan ahli hukum Islam yang termuka telah datang ke negeri itu dari berbagai-bagai tempat. Di ibu negeri, Cordova, sistem pendidikan dan amalan telah pun diperkenalkan kepada penduduk. Ziad bin Umar merupakan salah seorang ahli falsafah, pentafsir Hadis dan Al-Quran yang ulung. Kealimannya tidak ada bandingan dan kerana ketulusan hatinya, kesucian serta kesahihannya maka dia dihormati dan dimuliakan di seluruh Sepanyol. Pada waktu siang, dia menghabiskan masa di universiti dengan mengajar dan pada waktu malam dia menghadiri perhimpunan para cendekiawan dan pegawai-pegawai kerajaan. Tempat kediamannya terletak tidak berapa jauh dari kampus Universiti Cordova. Biasanya sesudah selesai solat isyak, orang-orang yang hauskan ilmu agama akan berkumpul di rumahnya.
Pada suatu hari ketika satu pertemuak waktu petang sedang berlangsung di rumahnya, yang dihadiri oleh para cendekiawan dan ilmuwan yang terkenal, Ziad bin Umar turun dari tempat ibadatnya. Semua yang hadir berdiri penuh hormat. Setelah duduk, Ziad pun bertanya akan keadaan kesihatan masing-masing dan kemudian dia berkata kepada Umar Lahmi.
"Mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayatNya kepada usaha-usaha anda yang mulia. Anda telah berdakwah seruan kebenaran sampai ke dalam rumah orang-orang kafir dan menundukkan pula mereka. Anda telah menyampaikan seruan Allah."
Umar Lahmi dengan rendah hati menjawab, "Semuanya itu adalah berkat dari doa dan perhatian anda juga. Kalau tidak saya ini hanyalah seorang Islam yang lemah tidak berdaya dan berkat doa anda pula maka Isabella telah menerima agama Islam di dalam hatinya. Oleh sebab itu dia ingin sekali bertemu dengan anda, maka dia telah ada di sini sekarang."
"Isabella ada di sini?" tanya Ziad dengan nada gembira.
"Ya. Dia ditempatkan di bilik sebelah dan kalau diizinkan, dia akan dibawa menghadap." jawab Umar Lahmi.
"Sudah tentu. Kalau dia datang mahu menemui saya, benarkan dia masuk."
Asad, salah seorang yang hadir di pertemuan itu mencelah, "Demi Allah, tuan. Ini sungguh-sungguh suatu peristiwa penting. Sekarang ini terjadi kehebohan besar di kalangan orang-orang Kristian di Cordova. Tetapi apakah Isabella seorang saja yang tertarik kepada Islam ataupun ada orang lain lagi bersama-sama dengannya?"
Umar Lahmi memandang Asad. "Tentang hal itu, anda akan dapat mendengar sendiri daripadanya."
Satu suara lain terdengar di antara para hadirin. "Saya dengar orang-orang Kristian mahu membunuh Isabella."
"Sebegitu jauh Isabella telah mengambil langkah-langkah melindungi dirinya. Dia merahsiakan keislamannya sehingga belum ada yang mengetahui bahwa dia sudah memeluk agama Islam ataupun bermaksud akan melakukannya. Jadi, berita angin tentang orang mahu membunuhnya itu agak terlalu awal." jawab Umar Lahmi.
"Sekarang bawa Isabella ke mari." kata Ziad setelah mendengar percakapan Umar Lahmi dengan hadirin itu. "Kita akan mendengar cerita yang menarik dari mulutnya sendiri."
Isabella dijemput masuk ke majlis. Waktu melihat Ziad bin Umar duduk di tempat khas dikelilingi oleh para hadirin, Isabella dengan takzim menundukkan kepalanya memberi hormat lalu mengambil tempat di suatu sudut. Semua yang hadir mengucapkan selamat kepadanya dan memuji-muji keberanian dan ketegasannya membuat keputusan.
"Anakku, Isabella." ujar Ziad. "Saya bersyukur dan mengucapkan tahniah di atas pilihanmu kepada jalan kebenaran. Bahwa Allah telah mengeluarkan kamu daripada kegelapan dan telah menganugerahkan kepadamu nikmat Islam. Melepaskan kamu daripada cengkaman trinitas yang membingungkan. Allah telah membawa kamu ke jalan yang benar. Bagi mereka yang sudah kukuh kepercayaannya kepada Islam tidak akan takut dan gentar dengan segala macam kesukaran dunia ini biar betapa pun besarnya kerana Allah akan memimpinnya mengatasi semua kesukaran itu."
"Bapa yang mulia ...." Isabella mahu berkata.
Tetapi Ziad mengangkat tangannya, menyuruh dia bersabar.
"Anakku," kata Ziad, "panggilan serupa itu jangan kau gunakan lagi. Di dalam Islam, tidak ada kepausan seperti yang dilakukan oleh penganut-penganut agama Kristian terhadap paderi-paderinya. Dalam Islam ada persamaan hak yang sempurna. Tugas suci orang-orang alim ialah membimbing orang-orang Islam menurut Al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Menjadi tugas tiap-tiap Muslim untuk mengikut bimbingan itu dan bukan mendewa-dewakan mereka ataupun menjadikan mereka itu berkuasa di atas semua urusan kehidupannya."
Isabella merasa malu. Cahaya kemerahan naik ke pipinya.
"Ajarlah saya bagaimana caranya mahu memanggil tuan dan pemimpin-pemimpin Islam yang lain."
"Panggillah saya dan orang-orang Islam lainnya dengan panggilan saudara atau kalau mahu ditambah, tambahlah dengan perkataan tuan." kata Ziad.
"Baiklah tuan. Saya akan mematuhi kata-kata tuan." ujar Isabella.
Setelah diam sejenak, dia lalu menyambung, "Tuan. Dengan petunjuk dan pertolongan Tuhan maka Dia telah menunjukkan kepada hamba yang hina ini jalan kebenaran dan keadilan dan membawa saya keluar dari jalan trinitas dan penyembahan salib. Yang menjadi pembuka jalan kepada saya ialah dari bimbingan guru rohaniah yang dermawan, Umar Lahmi, yang telah mendakwah kepada paderi-paderi Cordova samapi ke dalam rumah mereka sendiri. Melalui beliaulah, seruan kepada kebenaran ini sampai ke telinga saya. Saya dengan tulus ikhlas berdoa kepada Tuhan, mudah-mudahan kepadanya dianugerahkan segala kebajikan di dunia ini dan juga di akhirat. dan dengan doa tuan pula hidup dan mati saya di dalam Islam."
"Amin!" semua hadirin serentak mengucapkannya.
"Anakku," kata Ziad, "Allah menghendaki khidmat yang amat besar daripadamu. Sudah pasti seluruh orang Islam akan mendapat faedah yang besar melalui khidmat itu. Tetapi, apakah ada wanita-wanita lain yang telah ikut kau Islamkan?"
"Ya tuan. Empat sahabat saya yang sudah hilang kepercayaannya kepada agama Kristian sudah tertarik kepada Islam." ujar Isabella. "Dengan izin Tuhan, esok atau lusa saya akan bawa mereka kemari supaya mereka mendapat doa dari tuan dan pembersihan segala sisa syak wasangka tentang Islam kalau masih ada di dalam diri mereka."
"Saudara Isabella," Umar Lahmi menyampuk, "siapakah gerangan sahabat-sahabatmu itu? Demi Allah, kami belum lagi kenal dengan mereka dan kau pun tidak pernah memberitahu kami sebelumnya."
"Salah seorang daripadanya ialah anak guru teologi saya, Michael dan ada tiga orang lain lagi. Semua mereka ikut mendengar perbahasan tuan." ujar Isabella.
"Apakah benar-benar mereka itu sudah Islam dan kesemuanya telah melihat akan kelemahan agama Kristian? Apakah mereka telah pasti dengan kebenaran Islam? Ataupun mereka belum begitu berani untuk melepaskan agama nenek moyangnya dan berterus-terang memeluk Islam?" kata Umar Lahmi dengan agak ghairah.
Ziad tersenyum mendengar kata-kata Umar lalu dia menjawab dengan kata-kata yang bijaksana.
"Insya-Allah, Allah akan memberikan kepada mereka keberanian yang anda inginkan itu. Mari kita semua berdoa untuk mereka."
"Bawalah juga anak perempuan Michael pada suatu hari nanti supaya kita dapat menghilangkan keraguannya." kata Umar Lahmi kemudian.
"Esok atau lusa saya akan membawanya ke mari." ujar Isabella. "Jikalau keempat-empat mereka itu tidak dapat datang sekaligus sudah pasti seorang daripadanya, anak Michael akan saya bawa."
"Anakku," kata Ziad kepada Isabella, "dengar baik-baik kataku ini. Kamu menerima Islam ialah sesudah membersihkan semua keraguan yang ada di dalam dirimu. Jangan sekali-kali kerana kecurangan atau muslihat. Allah menghendaki keikhlasan hati dan Al-Quran menyebut bahwa hidup dan mati seorang Islam, solat dan baktinya, duduk dan berdiri, tidur dan berjalan, tiap-tiap sesuatunya adalah kerana Allah semata-mata dan kerelaan Allah hendaklah menjadi tujuan hidupnya."
"Saya mengaku bahwa Allah menjadi saksi, tuan. Saya menjejaki ambang Islam ini bukan kerana nafsu dan muslihat juga bukan kerana tujuan inginkan kekayaan dan kekuasaan. Tuan sendiri tahu tentang kehormatan yang diberikan kepada bapa saya di Cordova ini dan juga di seluruh Sepanyol." kata Isabella.
"Allah akan melimpahkan rahmatNya kepadamu dan memberikan keteguhan serta nikmatNya yang tidak terhingga." ujar Ziad.
Umar Lahmi menyampuk, "Hanya agama Islam saja, dengan menerimanya, Allah akan melimpahkan rahmatNya yang banyak ke atas pemeluknya dan semua dosa diampunkan."
Mendengar kata-kata Umar Lahmi menyebabkan Isabella tersenyum. Dia teringat pada pengampunan dosa yang dilakukan oleh para paderi.
"Semua dosa saya sudah diampunkan setiap minggu oleh paderi Cordova, yang bertanggungjawab terhadap jabatan penyiasatan."
Menundukkan kepalanya lalu menyambung, "Saya sekarang sudah bebas dari dosa dan suci bersih."
"Apakah maknanya jabatan penyiasatan itu dan apa maksudnya paderi memberi pengampunan dosa? Bolehkah manusia mengampunkan dosa?" tanya Ziad.
Mendengar pertanyaan itu, Isabella merasa malu sejurus.
"Tuan, cerita ini amat menarik, boleh jadi agak aneh pada pendengaran tuah kerana tuan tidak begitu mengetahui perkara-perkara yang terjadi di dalam agama Kristian."
Ziad menjadi tertarik dengan kata-kata Isabella.
"Sudilah anakku menceritakan hal ini kepada kami. Perkara-perkara yang menarik serupa itu tentu amat baik menjadi pengetahuan kami dan apatah pula tidak ada orang yang lebih tepat untuk menceritakannya selain daripada anakku."
"Tuan yang mulia. Penganut agama Kristian mempunyai suatu adat iaitu tiap-tiap orang duduk di depan 'altar' Kristus menghadap ketua paderi pada tiap-tiap minggu dan mengakui dosanya yang akan diampuni oleh ketua paderi menurut kepercayaan agama Kristian. Ketua paderi mempunyai kekuasaan untuk melakukannya kerana dia dianggap sebagai wakil St. Petrus." kata Isabella.
"La haula wala quwwata illa billa." kata Ziad. "Bolehkah manusia mengampunkan dosa selain daripada Allah. Inilah sebabnya mengapa Al-Quran menuduh Kristian menjadikan paderi dan anggota tertua gereja mereka sebagai 'Rab' selain Allah. Apakah ada hak paderi-paderi itu mengampunkan dosa?" suaranya mengandungi kehairanan.
"Ya," jawab Isabella, "asalkan yang berdosa itu mengakui dosanya yang terang dan yang tersembunyi di depan paderi. Kalau dia masih menyembunyikan juga maka dosanya tidak dapat diampunkan."
Umar Lahmi mencelah, "Jadi untuk mendapat pengampunan dosa segala macam perbuatan kotor mestilah didedahkan? Bagaimana cara kita mahu mendapatkan pengampunan itu?"
Isabella menundukkan mukanya. "Tiap-tiap orang hendaklah pergi ke gereja besar menurut waktu yang telah dijanjikan. Kalau di sini perjanjian itu dibuat dengan Michael atau Peter dan kemudian ..."
"Wanita-wanita juga ikut hadir?" tanya Umar Lahmi lagi.
"Ya, tiap-tiap gadis dan pemuda yang dewasa hadir di situ. Paderi akan bertanya tentang dosa yang telah mereka lakukan pada minggu berikutnya. Setelah dosa-dosa itu didedahkan dan pengakuan dibuat, paderi lalu meletakkan tangannya di atas kepala yang berdosa dan berkata, "Kini kamu boleh pergi. Dengan restu Jesus Kristus semua dosamu telah diampunkan."
"Apakah paderi itu bertanya kepada seseorang itu secara bersembunyi ataupun di depan orangramai secara terbuka?" tanya Umar Lahmi dengan penuh minat.
Isabella dengan cepat menjawab. "Tidaklah begitu memalukan kalau tiap-tiap orang disuruh mengaku secara sulit. Tetapi yang berlaku ialah diminta mengaku di depan semua yang hadir. Sijil pengampunan juga dikeluarkan."
"Astagfirullah! Walaupun di depan pemuda-pemudi yang belum kahwin?" tanya Umar Lahmi,
"Ya." ujar Isabella sambil menundukkan mukanya dengan rasa malu. "Malah pemuda dan pemudi yang belum kahwin terpaksa mengakui dosanya di depan umum dan dapat didengar oleh semua orang."
"Astagfirullah." Umar Lahmi beristigfar panjang. "Dalam membuat pengakuan dosa mereka serupa itu banyak perkara yang memalukan akan terdedah. Andaikata seseorang itu telah mencuri, dia terpaksa mengaku di depan ..."
"Bukan saja mencuri," ujar Isabella "perbuatan yang paling hina dan keji pun terpaksa diakui di depan umum. Kalau dia tidak mengaku atau menyembunyikan sesuatu maka pengampunan tidak diberikan dan yang berdosa itu akan masuk neraka."
"Tentulah amat buruk kesannya kepada moral pemuda-pemudi yang belum kahwin?" kata Umar Lahmi.
"Sudah tentu. Tetapi di kalangan penganut Roman Katolik, dosa itu tidak begitu penting dibandingkan dengan usaha mendapatkan pengampunan dosa yang terlalu mudah. Orang-orang dengan senang boleh melakukan dosa." kata Isabella.
Salah seorang yang hadir mencelah, "Dosa orang biasa juga diampunkan oleh paderi sendiri?"
Setelah sekian lama berdiam diri kerana mendengar soal jawab Umar Lahmi dan Isabella, Ziad sambil tersenyum berkata perlahan seolah-olah kepada dirinya sendiri.
"Barangkali paderi-paderi itu tidak ada melakukan dosa." Sesudah berkata serupa itu, dia lalu meminta diri naik ke atas untuk menunaikan solat dan berwirid.
Isabella menundukkan kepalanya cuba menyembunyikan perasaan malu.
"Tuan tidak dapat membayangkan betapa pemimpin-pemimpin agama kami melakukan dosa. Lebih-lebih lagi para rahib yang kebanyakan hidup penuh bergelimang dosa."
"Apa?" Umar Lahmi terperanjat mendengar kata-kata Isabella.
"Apakah kehidupan pemimpin-pemimpin agama itu lebih buruk daripada orang-orang biasa? Apa yang saudara katakan ini? Jangan kerana saudara menjadi Islam, saudara membuat tuduhan palsu terhadap orang lain. Menurut Al-Quran, hukuman terhadap tuduhan palsu amat berat."
"Memang benar. Tuan boleh berkata serupa itu kerana tuan tidak tahu terutama tentang catatan hitam kehidupan para rahib dan kerana tuan tidak dapat membayangkan perbuatan-perbuatan keji mereka, tuan tidak bersalah kalau menuduh saya berbohong ataupun tidak percaya dengan keterangan saya." kata Isabella.
"Benarkah ini satu kenyataan?" ujar Umar Lahmi lagi dengan suara rendah, seolah-olah merasa menyesal dengan ucapannya tadi. "Kalau begitu cubalah ceritakan kepada kami secara terperinci."
Semua yang hadir ikut mendesak Isabella memberikan sedikit penerangan tentang cara-cara amalan yang dilakukan oleh penganut-penganut agama Kristian supaya mereka mendapat sedikit idea untuk membandingkannya dengan agama Islam.
"Saudara-saudara tentu tahu," kata Isabella setelah diam sejurus mempertimbangkan permintaan hadirin itu, "bahwa mengabaikan dunia dan pengorbanan diri oleh para rahib sangatlah dituntut di dalam agama Kristian. Oleh sebab itu, kebanyakan daripada paderi terdiri daripada rahib-rahib atau orang yang telah membuang dunia. Untuk mencapai keselamatan, mereka mesti menderita kesusahan dan menyeksa dirinya. Dengan cara yang serupa bila kaum wanita menjadi rahib perempuan yakni mereka mengikuti jejak Maryam dan hidup tanpa kahwin. Tetapi dalam wakut yang sama rahib lelaki dan rahib perempuan tidak dapat mempertahankan kesuciannya. Rahib dan pemimpin-pemimpin agama juga berlaku curang dan rahib perempuan seringkali hilang kesuciannya. Kerana ada sistem pengakuan dosa, para rahib itu mendapat satu kesempatan baik untuk memuaskan nafsu bejatnya. Rahib perempuanlah yang kebanyakannya terlibat di dalam kebejatan moral itu. Sementara rahib lelaki ada yang tidak memilih bulu sampai-sampai kepada ibu dan saudara perempuannya jua." Isabella mengucapkan kata-kata yang terakhir itu dengan penuh rasa malu dan tanpa disedari peluh menyucur keluar dari dahinya.
Semua yang hadir serentak mengucapkan "Astagfirullah! Astagfirullah!"
Setelah diam sejurus lamanya, Umar Lahmi lalu berkata "Keadaan yang serupa ini berlaku kerana agama Kristian memuliakan kehidupan tanpa kahwin dan sistem pembujangan yang bertentangan dengan tabii manusia dan undang-undang Tuhan. Suatu hujah yang kuat tentang kepalsuan agama Kristian ialah ia memaksakan undang-undang serupa ini ke atas manusia yang berlawanan dengan sifat semulajadi dan sudah pasti manusia tidak dapat mematuhinya. Kerana itu, Nabi kita menyatakan: 'Tidak ada pembujangan di dalam Islam' yakni tidak ada pembujangan atau membuang dunia di dalam Islam. Nabi juga bersabda "Nikah itu adalah sunnahku maka sesiapa yang tidak suka beramal dengan sunnahku maka tidaklah dia daripada golonganku". Kitab Suci Al-Quran* juga ada menyebut 'Kemudian mereka mengadakan rabbaniyah* yang kami tidak memfardhukan ke atas mereka'. Mereka orang-orang Kristian tidak dapat mengawal pembujangan. Betapa mereka dapat mengawali sesuatu yang tidak wajar dan bertentangan dengan undang-undang tabii."
* AlQuran S57:27 * terlalu menekunkan diri dalam beribadat, menjauhkan diri dari masyarakat dan tidak mahu beristeri.
"Apakah Islam melarang pembujangan dan membuang dunia?" tanya Isabella.
"Sudah tentu. Apa yang saudara dengar tadi ialah hukum di dalam Al-Quran dan dari Hadiths." jawab Umar Lahmi.
Isabella sangat terharu mendengar keterangan itu dan kemuliaan Islam semakin dalam membekas di dalam hatinya. Tiba-tiba salah seorang daripada hadirin bersuara.
"Jadi para rahib itu tidak dapat membezakan antara yang hak dengan yang batal dan yang benar dengan yang salah?"
"Banyak sekali perkara yang memalukan," ujar Isabella "kita dapat menilainya sendiri apabila kehormatan ibu dan saudara perempuan tidak dapat dipercayakan kepada mereka maka apalagi yang tak dapat mereka lakukan?"
Seorang lain yang hadir bertanya "Apakah rahib perempuan juga berbuat kecurangan?"
"Allah melindungi kita semua. Keadaan mereka adalah lebih buruk lagi daripada rahib lelaki." ujar Isabella. "Kebanyakan mereka hidup penuh kehinaan. Sejarawan Eropa pernah menulis tentang tengkorak bayi yang dijumpai di dalam tangki sekolah rahib perempuan bila tangki itu dicuci. Bayi-bayi itu dicampakkan ke dalam tangki untuk menyembunyikan perbuatan di luar nikah."
"Semua perkara ini berlaku kerana kepercayaan kepada penebusan dosa itulah." kata Umar Lahmi lagi. "Kepercayaan itu seperti semacam keizinan kepada penganut Kristian untuk berbuat dosa."
"Memang benar." kata Isabella. "Tuan pun telah mengetahuinya. Dengan kepercayaan kepada penebusan dosa maka ketakutan kepada dosa menjadi hilang dan tiap-tiap orang yakin bahwa dengan membuat pengakuan di hadapan paderi semua dosa akan diampunkan."
"Allahu Akbar!" Umar Lahmi mengeluh panjang. "Keagungan dan kebesaran Islam jelas dari kenyataan bahwa di samping menolak kepercayaan penebusan dosa, ia menekankan pekerti yang baik sebagai dasar keselamatan dan kebahagiaan dan pada waktu yang sama menganjurkan prinsip 'barangsiapa yang berbuat kebajikan walaupun sebesar zahra akan diberi pahala dan barangsiapa yang berbuat jahat walaupun sebesar zahra akan menerima balasan."
Satu suara dari antara hadirin menyampuk.
"Saudara Isabella, saudara tentu tahu bahwa kepercayaan kepada penebusan dosa itu telah menyebabkan penganut-penganut Kristian melakukan dosa tetapi ada sebab lain lagi iaitu orang-orang Kristian menganggap semua nabi itu berdosa belaka dan berpendapat mereka itu telah melakukan berbagai dosa dalam hidup mereka."
"Pendapat itu tidak benar. Jikalau semua nabi suci dianggap berdosa maka siapa lagi yang akan tinggal untuk membenci dosa? Dan apa pula hak mereka untuk mencegah orang lain dari berbuat dosa?"
"Saudara benar," kata Umar Lahmi " tetapi bagaimana pula pendapat saudara terhadap anggapan penganut-penganut Kristian bahwa, dijauhkan Allah, nabi-nabi suci itu penyembah berhala, penzina dan pembohong?"
"Oh tuan! Benarkah itu kepercayaan Kristian dan mereka menganggap nabi-nabi sebagai penyembah berhala dan pembohong? Kalau benar, manakah satu kitab Kristian yang menyebutnya?" tanya Isabella agak terperanjat.
"Saudaraku. Saudara belum tahu lagi tentang idea-idea Kristian dan untuk membenarkan dosa mereka maka mereka membuat tuduhan yang serius kepada nabi-nabi. Kerana saudara belum mengkaji secara menyeluruh kitab-kitab suci agama Kristian maka saudara terperanjat mendengar kata-kata saya." jawab Umar Lahmi. "Saya berani menjamin bahwa kalau Islam tidak ada dan Penghulu segala Rasul yang menjadi jagoh dari semua kebajikan tidak membuka keduk tentang kepalsuan Kristian dan Yahudi, maka tidak seorang pun akan menemui kebenaran tentang kesucian nabi-nabi."
"Apakah orang-orang Kristian itu begitu tidak malu, masih juga percaya kepada nabi-nabi sedangkan nabi-nabi itu mereka anggap orang yang berdosa? Barangkali tuan salah mengerti. Saya belum pernah mendengar dari sesiapa pun bahwa nabi-nabi menyembah berhala atau bercakap bohong. Bolehkah tuan membuktikan dakwaan tuan itu melalui kitab-kitab agama Kristian?" kata Isabella.
"Sudah tentu dari kitab-kitab suci agama saudari." jawab Umar Lahmi.
"Kitab-kitab suci agama saya?" Isabella hairan dan terperanjat. "Kitab suci agama saya ialah Al-Quran."
Umar Lahmi tersenyum dan cuba membetulkan kesilapannya. "Maksud saya kitab-kitab yang saudara anggap sebagai kitab-kitab agama Kristian. Kitab-kitab itu ada mengandungi hal-hal serupa itu."
"Agak aneh," ujar Isabella "cuba perjelaskan sedikit."
"Maksud saya," jawab Umar Lahmi "dalam kitab-kitab suci agama Kristian ada dijelaskan nabi-nabi itu sebagai penzina dan penyembah berhala. Ada disebutkan bahwa Nabi Lot telah membuntingkan kedua anak perempuannya." Umar Lahmi lalu mencapai Kitab Perjanjian Lama.
"Lihat Injil Kejadian bab 19 ayat 36. Tentang Nabi Daud dikatakan telah tidur dengan Batsyeba binti Eliam isteri Uria orang Het. Lihat 2 Samuel bab 11 ayat 4. Kemudian ada dikatakan pula tentang Nabi Simson yang juga telah tidur dengan seorang perempuan sundal waktu dia sampai di Gaza kemudian jatuh cinta kepada seorang perempuan di Lembah Sorek yang namanya Delila, lihat Injil Hakim-Hakim bab 16:14."
"Astagfirullah," sahut orang-orang yang hadir. "Muga-muga Allah mengutuki orang-orang Yahudi dan Kristian. Astagfirullah! Astagfirullah!"
Isabella merasa amat malu. Peluh dingin memercik dari tubuhnya. Lama dia tidak dapat berkata-kata.
"Cuba dengar ini pula," kata Umar Lahmi menyambung "dalam kitab suci Kristian nabi-nabi juga dikatakan sebagai pendusta. Yakni meskipun mereka itu menjadi nabi tapi mereka tetap bercakap bohong. Mula-mula tentang Nabi Simson. Dia telah berbohong kepada Delila tentang rahsia kekuatannya. Delila cuba mencungkil rahsia kekuatan Nabi Simson itu kerana dia mendapat upah daripada orang-orang Filistin yang mahu menangkap Nabi Simson. Lihat Injil Hakim-Hakim bab 16:6-15. Kemudian tentang seorang nabi lain yang tidak disebut namanya di dalam Injil telah berbohong kepada seorang abdi Tuhan yang tidak mahu pergi ke rumahnya sehingga akhirnya abdi itu percaya kepadanya dan mengikutnya. Lihat Injil 1 Raja-Raja bab 13:18. Seorang nabi lain membuat cerita palsu kepada raja dengan membalut kepalanya yang luka bukan kerana pertempuran di dalam perang tetapi dia sengaja menyuruh orang memukulnya. Lihat Injil 1 Raja-Raja bab 20:37-39. Dalam Injil 2 Raja-Raja pula pada bab 22:13-15 Nabi Mikha bin Yimla disuruh berbohong kepada raja Israel. Nabi Yeremia pula banyak sekali bercakap dusta. Lihat Injil Yeremia bab 38."
Kemudian Umar Lahmi berkata kepada Isabella. "Saudari cukup kenal dengan St Petrus, bukan? Apa kata orang-orang Kristian terhadapnya?"
"Orang-orang Kristian percaya St Petrus sebagai nabi wali dan semua paderi besar dianggap sebagai pengganti St Petrus dan kerana itu pula maka mereka diberi kuasa untuk mengampunkan dosa." jawab Isabella.
"Memang benar." kata Umar Lahmi. "Tetapi tidakkah ada dikatakan dalam kesemua empat-empat Injil bahwa ketika musuh menangkap Jesus Kristus dan kemudian mereka mahu menangkapnya sama, dia lalu menyangkal ada mengenali Jesus Kristus. Dia mengutuk dan menyumpah-nyumpah sampai tiga kali bahwa dia tidak mengenali Jesus Kristus dan Jesus pun pernah berkata kepadanya: 'Sebelum ayam berkoko engkau telah menyangkal aku tiga kali'.*
*lihat Injil Matius bab 26:69-75, Injil Markus bab 14:66-72, Injil Lukas bab 22:56-62 dan Injil Yohanes bab 18:19-24
"Memang benar ada ditulis begitu." jawab Isabella. "Saya belajar Injil setiap hari dari guru saya, Michael."
"Sekarang lihat pula bukti perkara yang ketiga. Menurut orang-orang Kristian, nabi-nabi itu penyembah berhala. Ini ada tertulis dalam Injil Keluaran yang menjadi bahagian keempat Kitab Taurat. Pada bab 32 ayat 4-6 ada dikatakan bahwa Nabi Harun telah menerima barang-barang emas orang-orang Israel lalu dibuatnya anak lembu dan disuruh mereka menyembahnya. Pada bab 11 dari Kitab Raja-Raja di bawah tajuk 'Salomo Jatuh ke Dalam Penyembahan Berhala' ada disebutkan bahwa Nabi Sulaiman mencintai banyak perempuan asing dan atas desakan isteri-isterinya ikut menyembah berhala pada ketika usianya sudah lanjut dan dengan demikian telah menyekutukan Allah. Astagfirullah." kata Umar Lahmi.
"Mudah-mudahan Allah melindungi kita." jawab Isabella.
"Cuba lihat ini," sambung Umar Lahmi "di dalam Injil ini saya telah meletakkan tanda pada lembaran-lembaran penting. Saudara boleh melihatnya sendiri,. Saya tidak berbohong."
Injil itu diserahkan kepada Isabella untuk dilihatnya. Isabella menyambut dan terus membuka halamannya untuk melihat.
"Tujuan saya memperlihatkan perkara ini," kata Umar Lahmi "ialah kerana orang-orang Kristian itu terlalu lancang dan berani membuat berbagai macam dosa kerana menurut mereka nabi-nabi juga ada membuat dosa dan mereka berpendapat apabila nabi-nabi itu tidak dilucutkan kenabiannya maka mengapa pula orang-orang biasa mesti dihukum atas dosa yang sama."
"Apakah Al-Quran ada mengatakan nabi-nabi itu orang yang suci?" tanya Isabella.
"Itulah kelebihan Al-Quran yang paling agung. Al-Quran dengan tegas menyangkal semua idea dan tuduhan yang dibuat oleh orang-orang Yahudi dan Kristian. Al-Quran menyatakan bahwa nabi-nabi tidak pernah berfikir untuk melakukan dosa apatah lagi untuk benar-benar melakukannya." kata Umar Lahmi. "Lihat Al-Quran Surat Hud yang mengatakan antara lain bahwa apa yang dilarang oleh nabi-nabi itu mereka tidak pun pernah berfikir akan melakukannya* dan menurut Al-Quran nabi-nabi tergolong dalam golongan insan yang suci."
* "... dan tiada aku berkehendak akan mengerjakan sesuatu yang aku larang kamu mengerjakannya" AlQuran S11:88
"Tidakkah Al-Quran ada menyebut bahwa Adam ada memakan buah yang dilarang? Bukankah melanggar perintah Tuhan itu satu dosa?" tanya Isabella.
:Definisi dosa ialah sesuatu perbuatan yang terlarang dilakukan dengan sengaja," jawab Umar Lahmi "sesuatu yang dilakukan dalam keadaan tidak sedar tidak dianggap berdosa. Misalnya seseorang yang sedang berpuasa dilarang minum atau makan tetapi jikalau dia makan dan minu dalam keadaan terlupa, puasanya itu sah dan dia tidak berdosa. Nabi Adam memakan buah yang terlarang dalam keadaan terlupa seperti yang disebutkan Al-Quran dalam Surat Taha iaitu Allah telah menerima pengakuan Adam kerana dia telah terlupa dan Allah tidak melihat ada kesengajaan dengan perbuatannya itu." *
* "Sesungguhnya telah kami janjikan kepada Adam sebelumnya, lalu dia lupa dan tidak mempunyai cara berfikir yang kuat," Al-Quran S20:115
"Maha Suci Allah. Tahulah saya sekarang bahwa Adam tidak melakukan dosa. Kalau tidak, pada paderi Kristian selalu mendakwa Al-Quran ada mengatakan Adam itu orang berdosa." ujar Isabella. Dia kemudian melihat jam. "Oh, saya sudah terlalu lewat dan mesti pulang ke rumah segera. Bapa saya dan ibu tentu sedang menunggu saya pulang dan saya pun belum lagi makan."
"Kalau saudari mahu makan di sini bersama kami juga boleh. Dapat kami sediakan menurut makanan biasa guru kami, Ziad. Sudikah saudari makan di sini?" tanya Umar Lahmi.
"Terima kasih banyak. Tetapi saya lebih suka makan di rumah, kadang-kadang ibu saya tidak akan makan sampai saya pulang. Dia biasa menunggu saya untuk makan bersama-sama." jawab Isabella.
Umar Lahmi tersenyum kecil mendengar jawaban Isabella. "Berapa lama dia dapat menunggu makan bersama-sama saudari agaknya kerana pada suatu hari nanti rahsianya akan bocor juga?"
"Itu kita serahkan kepada keadaan tetapi buat masa ini, izinkanlah saya pulang dulu."
"Jadi bila saudari akan membawa sahabat-sahabat saudari ke mari?" tanya Umar Lahmi.
"Esok kalau tidak ada halangan. Paling lambat lusa. Saya mohon doa tuan-tuan agar mereka diberi petunjuk ke jalan yang benar seperti saya." kata Isabella.
"Amin!" Para hadirin menyahut serentak.
Isabella lalu bangun. Umar Lahmi dan para hadirin ikut bangun menghormatinya.
"Sampaikan salam saya kepada Tuan Ziad." kata Isabella kepada Umar Lahmi sebelum dia meninggalkan majlis itu.
BAB 8 Isabella Di Rumah
Setelah meninggalkan majlis yang penuh bererti dan banyak memberikan harapan, Isabella pulang melalui jalan yang terus menuju ke rumahnya; melewati Qasrus Syuhada dan terus ke Suqul Asafir. Pertemuan dgn Ziad bin Umar telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam di hati sanubarinya. Perasaannya riang gembira sehingga dia tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Dia menhayunkan kaki perlahan-lahan dengan teratur. Matanya tunduk ke bawah. Kira-kira setengah jam kemudian dia pun sampai ke rumahnya. Dilihat ibu sedang menunggu kepulangannya di pintu rumah dalam keadaan gelisah.
"Kemana kau pergi sehingga pulang lewat serupa ini?" tanya ibu sebaik-baik saja dia mengucup tangannya.
"Saya di rumah kawan, mama." jawab Isabella. Tetapi dia tidak menyebut nama kawannya walaupun didesak ibunya.
Ibunya segera menyuruh pembantu rumah menyediakan makanan. Mereka lalu makan bersama-sama. Kemudian bapa Isabella pula datang dan ikut makan. Mereka tidak banyak berbicara di meja makan. Setelah selesai, masing-masing masuk ke dalam bilik. Malam itu, Isabella tidak ke mana-mana. Dia terbenam di dalam biliknya sambil mentelaah tafsir Al-Quran yang diberikan oleh Umar Lahmi.
Di waktu pagi, dia terbangun apabila mendengar suara muazzin yang mengumandangkan azan subuh dari menara Masjid Cordova. Betapa merdu laungan itu sampai ke telinga di pagi yang bening, membangunkan orang-orang yang sedang tidur supaya mengerjakan solat subuh, rukuk dan sujud kepada Allah Yang Maha Besar. Betapa mempesonakan kata-kata Allahu Akbar! Allahu Akbar! Berbeza daripada bunyi loceng gereja yang juga mulai memecah keheningan pagi dengan keriuhan yg tidak ada erti. Suara muazzin yang beralun-alun menusuk sukma secara mendalam sementara bunyi ding-dong, ding-dong loceng hanya menggegarkan perasaan secara tidak menentu. Dua macam cara yang membezakan dua macam agama. Tidak lama kemudian pemeluk-pemeluk agama Islam yang taat mulai keluar meninggalkan masjid sesudah menyerahkan jiwa dan raga kepada Allah. Kaum buruh, peniaga dan petani masing-masing menuju ke tempat kerja, pasar dan ladang mulai ramai. Kicauan burung mulai tenggelam oleh suasana siang.
Mendengar panggilan beribadat itu, Isabella pun bangun dari tempat tidurnya. Setelah membersihkan diri, dia pun masuk ke dalam bilik bacaan di rumahnya, duduk di suatu sudut mentelaah sebuah kitab. Sedang asyik dia dengan kitabnya, pintu bilik diketuk orang. Isabella agak hairan. Siapa gerangan yang mengetuk pintu bilik di waktu pagi begini. Dia tahu bapa dan ibunya masih bersembahyang di gereja besar. Mereka akan pulang ketika hampir waktu sarapan.
"Siapa?" tanya Isabella.
"Kami!" sahut suara di luar.
Isabella kenal suara itu. Suara gurunya, Michael. Dengan segera, dia bangun membuka pintu. Isabella sangat terperanjat melihat Michael dan Peter berdiri di depan pintu. Dia dengan segera menundukkan kepalanya memberi hormat dan mempersilakan mereka masuk. Ketika dia hendak menutup pintu, bapanya pula muncul. Perasaan Isabella menjadi gempar melihat kehadiran bapanya, Michael dan Peter secara serentak. Dia lalu meminta diri kerana sangkanya mereka hendak membincangkan sesuatu perkara yang penting. Boleh jadi masalah yang berhubungan dengan orang-orang Islam.
"Kau tunggu!: Bapanya memberi isyarat dengan tangan. Perasaan Isabella menjadi semakin gempar dan kecut apabila mendengar arahan bapanya yang aneh. Tentu kedatangan gurunya dan Peter secara tiba-tiba itu ada hubungan dengan dirinya. Barangkali pertemuannya dengan orang-orang Islam telah sampai ke pengetahuan mereka.
"Duduk!" Bapanya memberi arahan.
Isabella pun duduk di sebuah kerusi yang agak jauh sedikit tetapi berhadapan dengan bapanya. Dia melihat urat-urat timbul di wajah bapanya. Air mukanya yang selalu lembut itu agak tegang, sekali-sekala dia menggigit-gigit bibirnya menahan perasaan. Ibu Isabella juga dipanggil masuk. Bapa Isabella pun membuka mulutnya. Mula-mula dia tujukan kepada ibu Isabella. Kemudian kepada Michael dan Peter.
"Tahukah kamu akan keadaan anak ini sekarang? Betapa dia memalukan dan menghina kita. Kerana memikirkan hal itulah maka saya memanggil anda berdua ke mari."
Peter kelihatan terperanjat. Dia memandang Isabella dan berkata, "Oh, ada apa?"
"Perkaranya amat serius," ujar ketua paderi "sudah agak lama saya mendengar berita anak ini telah meninggalkan agama Kristian dan secara sembunyi-sembunyi memeluk agama Islam."
"Apa? Apa?" Helena, ibu Isabella, hampir memekik mendengar kata-kata suaminya. "Apa anda katakan ini? Jesus Kristus tidak akan mengizinkan. Tetapi kenapa anda begitu meradang pagi ini sehingga tanpa sebab menuduh anakku masuk Islam?"
"Apa yang aku katakan ini adalah benar." jawab ketua paderi. "Kalau tidak hari ini, beberapa hari lagi kau akan mengetahuinya juga."
"Bapa yang suci," sampuk Peter "kata-kata bapa agak aneh. Isabella seorang anak yang baik. Dia telah belajar teologi. Dia tidaklah begitu bodoh untuk menerima agama Islam yang terkutuk itu."
"Saya tidak tahu kenapa anda berprasangka begitu." ujar Helena seraya bangun mendekati Isabella yang sedang duduk dalam ketakutan di sudut bilik.
Helena memegang bahunya dan berkata "Kau dengar apa yang dikatakan oleh bapamu?"
Isabella diam dan tunduk. Waktu itu bapanya memberi isyarat kepada Michael supaya bertanya.
"Anakku," kata Michael "benarkah kau telah memberontak terhadap agama Kristian? Benarkah begitu? Kalau ada orang yang menuduh kau serupa itu, kau mesti membantahnya."
Isabella mengangkat muka memandang Michael. Kemudian segera tunduk kembali dan mendiamkan diri. Air matanya berlinang.
"Nah, tengoklah," kata Helena "bukankah telah aku katakan ada orang yang membuat dakwaan palsu terhadap anakku. Apa bantahan yang dapat dia buat? Airmatanya itulah saja yang dapat menjawab tuduhan dia memberontak terhadap agama Kristian. Tuduhan itu palsu."
"Cuba anda diam dulu. Biar Isabella menjawab sendiri." ujar ketua paderi dengan perasaan gusar melihat ibu Isabella ikut campur. "Nah, anakku. Cuba ceritakan benar atau tidak laporan mengenai dirimu itu?"
"Saya belum menerima Islam dan masih tetap menjadi penganut Kristian." jawab Isabella.
"Kalau kau belum lagi terima Islam apakah kau akan menerimanya nanti?" Michael segera bertanya.
"Kenapa bapa tanya saya tentang hari depan?" Isabella memandang Michael dan menentang matanya. "Saya juga boleh bertanya serupa itu kepada bapa."
"Nah, kalau begitu cuba terangkan pendapatmu tentang agama Islam." kata Michael membalas tenungan Isabella.
Isabella tidak menjawab segera. Dia memandang muka bapanya yang masih tegang menggigit bibir. Dari muka bapanya dia beralih ke muka ibunya yang sudah kembali ke tempat duduknya. Mukanya membayangkan kesan-kesan kegelisahan. Kemudian melihat muka Peter. Paderi tua itu tenang tetapi ada tanda-tanda kegoncangan perasaan di dalam.
"Saya tidak pernah menghina Islam." katanya sambil melihat wajah Michael. "Kerana di dalam Kitab Suci Islam, Jesus diberi kemuliaan sebagai nabi yang suci dan orang-orang Islam memuliakannya."
"Kalau begitu kamu cintakan Islam dan orang-orang Islam?" Michael mengajukan pertanyaan dengan cepat.
"Bapa boleh mengatakan serupa itu ataupun dengan perkataan lain yang bapa suka." jawab Isabella. "Bagaimanapun saya bukanlah orang yang tidak berbudi. Jikalau orang-orang Islam memuliakan Kristus kita maka saya pun memuliakan nabi dan kitab suci mereka."
"Jadi sudah jelas sekarang ini bahwa di dalam hati kamu, kamu telah menjadi seorang Islam, kalau tidak masakan kamu memuji Islam dan penganutnya begitu." kata Peter cuba memerangkap Isabella. "Nah, beritahu kami apa fikiranmu terhadap agama ygn kamu anuti sekarang yakni agama Kristian?"
Isabella dapat menangkap arah tuju pertanyaan paderi tua itu.
"Saya beriman dengan Kitab Injil dan semua kitab yang diwahyukan tetapi saya tidak mahu terima segala cacat-cela yang telah dimasukkan ke dalam agama oleh penganut-penganut Kristian sekarang ini."
Mendengar jawaban itu, bapa Isabella lalu berkata ke arah Michael, Peter dan ibu Isabella.
"Kita sekarang sudah tahu fikirannya. Sudah tidak ada lagi jalan untuk mengubatinya melainkan dengan mata pedang."
Ibu Isabella terperanjat mendengar keputusan suaminya yang nekad itu. Lidahnya kelu tidak dapat berkata-kata. Peter segera membuat isyarat dengan tangannya.
"Berilah saya masa. Saya pasti akan dapat mengubah fikirannya. Saya akan mengikis semua salah fahamnya, apatah lagi Isabella pun ada belajar ilmu ketuhanan."
"Baiklah! Anda boleh cuba dan kita akan lihat hasilnya. Kalau gagal saya akan fikirkan satu cara lain mengubatinya."
Setelah berkata begitu ketua paderi pun bangun dan mengajak Michael dan Peter mengikutinya. Mereka berangkat ke gereja besar kerana menghadiri satu perhimpunan penganut-penganut Kristian yang datang dari seluruh negara Sepanyol untuk menyaksikan tanda peninggalan nabi-nabi dan ketua paderi yang terdahulu yang merupakan tulang-tulang dan lain-lain. Pada hari itu orang-orang Kristian telah datang dari tempat-tempat yang jauh untuk ikut ambil bahagian di dalam upacara tersebut yang akan dirahmati oleh ketua paderi.
Setelah ketua paderi, Michael dan Peter meninggalkan bilik, ibu Isabella yang masih kebingungan bangun mendekati anaknya sekali lagi.
Dia memeluk leher Isabella sambil berkata "Benarkah apa yang dikatakan oleh bapamu itu, nak?"
Isabella tidak menjawab. Dia memegang tangan ibu dan menepuk-nepuk dengan lembut sambil bangun melepaskan diri.
"Saya mahu masuk ke bilik saya, mama." katanya lalu terus berjalan menuju ke bilik sambil diperhatikan oleh ibunya dengan perasaan sedih bercampur hiba.
Isabella mengunci pintu bilik. Dia merebahkan diri di atas katil dan mula memikirkan nasibnya. Dia yakin akan menerima hukuman daripada bapanya dan paderi-paderi lain. Hukuman dan seksaan yang kejam bukan sesuatu perkara asing bagi penganut-penganut agama Kristian yang murtad ataupun mengeluarkan sesuatu pendapat agama yang bertentangan dengan ketua-ketua agama. Dia akan menghadapi hukuman yang berat. Namun dia sedikit pun tidak gentar dengan segala macam kekejaman dan seksaan yang akan ditimpakan ke atasnya. Hatinya telah bulat dan tekadnya telah tetap, dia akan menghadapi semua percubaan itu dengan hati yang tabah dan tidak berganjak.
Isabella kemudian mengambil kertas dan pena lalu menulis surat kepada Mirano, anak Michael, yang menjadi sahabat akrabnya.
Saudaraku yang dikasihi.
Tadi malam kira-kira jam sembilan, aku telah menghadiri satu pertemuan para cendekiawan Islam. Umar Lahmi dan ahli-ahli agama juga ikut hadir. Bagaimana aku akan menerangkan kepadamu suasana pertemuan itu! Suatu pertemuan yang sungguh menakjubkan. Kehadiranku di situ sesungguhnya semakin menebalkan lagi keyakinanku terhadap Islam. Aku sangat berharap kau juga ikut bersama-sama aku pada waktu itu. Tetapi aku telah berjanji dengan ketua mereka, Ziad bin Umar, akan membawa kau bersama-sama untuk ikut serta dalam pertemuan yang akan diadakan malam esok atau malam lusa.
Satu perkara penting telah terjadi ke atas diriku hari ini. Nampaknya, aku akan dihadapkan ke inquisisi. Doakanlah agar aku tetap di jalan yang benar. Bapaku rupanya telah mendapat berita tentang diriku bahwa aku telah memeluk agama Islam. Dia telah memanggil bapamu dan Peter ke rumah kami. Berbagai macam pertanyaan telah diajukan kepadaku. Cuba kau bayangkan betapa tersepitnya keadaanku waktu itu. Tetapi aku telah memberikan jawaban yang tegas kepada mereka.
Peter telah memberikan janji kepada bapaku bahwa dia akan membawa aku kembali kepada agama Kristian. Kalau keadaan yang serupa berlaku, aku harap kau dan ketiga orang kawan kita yang lain akan ikut hadir sama.
Perkara-perkara lain akan aku sampaikan secara lisan kepadamu nanti.
Saudaramu,
Isabella
Setelah siap surat itu ditulis, Isabella memanggil pengasuhnya dan menyuruh mengembalikan sebuah buku kepada Mirano serta mengambil buku lain daripadanya.
"Surat ini yang telah lama terletak di sini juga dibawa bersama-sama dan diberikan kepadanya."
Pengasuh pun segera melakukan apa yg disuruh. Dia pergi ke rumah Michael dan menyerahkan buku dan surat kepada Mirano. Mirano segera membaca surat tersebut lalu memberitahu pengasuh Isabella bahwa dia sendiri akan menghantar buku itu kepada Isabella nanti.
Pada petang itu, Isabella dan keempat orang sahabatnya bertemu di taman tempat mereka pertama kali mendengar perbualan Umar Lahmi. Dia menceritakan kepada sahabat-sahabatnya tentang kejadian pagi tadi di rumahnya seraya meminta pendapat mereka. Sahabat-sahabatnya sangat ingin berjumpa Ziad bin Umar. Mereka juga mencadangkan agar Isabella memberitahu kejadian pagi itu kepadanya.
Mereka membuat keputusan akan ke rumah Ziad bin Umar pada petang berikutnya. Setelah itu mereka pun bersiar-siar di taman itu sampai waktu perpisahan lalu pulang ke rumah masing-masing.
BAB 9 Ujian Keimanan
Pagi berikutnya, Isabella menerima surat dari Michael yang dibawa oleh seorang pesuruh. Surat itu berbunyi : Anakku Isabella. Harap kamu dapat datang segera ke tempatku kerana ada perkara yang penting yang akan kubincang denganmu. Tinggalkan dulu urusanmu yang lain. Aku menunggu kedatanganmu.
Sepintas lalu, Isabella sudah dapat menanggapi maksud surat itu, tentu ada hubungan dengan peristiwa yang berlaku kelmarin pagi di rumahnya. Isabella lalu memberitahu ibunya. Dia pun segera bertolak ke rumah Michael.
Di sana, selain daripada Michael dan Peter, ikut plua seorang rahib yang cukup terkenal, cukup popular dan mashyur di seluruh Sepanyol kerana kehidupan pertapaannya. Mirano di lain pihak telah memanggil kawan-kawannya supaya datang berkumpul di rumahnya untuk mendengar pemeriksaan ke atas Isabella.
Setelah Isabella dipersilakan duduk di tempat yang disediakan khas untuknya, Michael pun memulai pertanyaan seperti berikut, "Kelmarin kamu telah menangkis pertanyaan-pertanyaan kami dengan jawaban yang bersifat kabur. Hari ini kami akan bercakap kepadamu secara berterus-terang. Nah, mahukah kamu menjawab soalan saya dengan jawaban yang benar?"
"Saya tidaklah begitu pintar untuk menjawab semua pertanyaan bapa dan yang kedua saya fikir tidak ada perkara sehingga interogasi serupa ini dilakukan ke atas saya."
"Apakah kamu sudah menjadi seorang penganut Islam?"
"Saya sudah menjawabnya kelmarin dan saya tidak mahu berkata apa-apa lagi tentang hal itu."
"Baiklah," kata Michael, "apakah kamu percaya dengan Ketuhanan Suci dan Jesus Kristus sebagai Tuhan dengan segala keperluan kewujudannya?"
"Saya percaya kepada Tuhan sebagai Tuhan dan bukan manusia sebagai Tuhan." jawab Isabella.
"Jadi jelaslah bahwa kamu tidak percaya kepada Ketuhanan Tuhan Jesus Kristus. Jadi, apa lagi bukti yang ada kalau kau bukan seorang Muslim?" tanya Michael.
"Maksud saya tidak ada bukti di mana-mana pun juga di dalam Injil bahwa Jesus itu Tuhan." jawab Isabella.
"Demi Tuhan!" kata Michael dengan nada yang agak meninggi. "Jangan memfitnahkan Injil Suci. Tidakkah kau baca di dalam Injil itu bahwa dia adalah 'putera Tuhan'?"
Isabella lalu mengambil Injil dan dipegangnya.
"Nah, kalau begitu tolong jelaskan kepada saya makna ayat berikut." Lalu dibukanya Kitab Jonah, bab 1 ayat 31-36 dan dibacanya: "Orang-orang Yahudi lalu mengangkat batu untuk melempari Kristus, yang berkata kepada mereka. Aku telah menunjukkan kepada kalian banyak perkara yang baik dari bapa, apakah kerana itu kalian merajami aku? Orang-orang Yahudi menjawab: Kami bkan merajami kamu kerana perbuatan-perbuatan baik tetapi kerana kecuranganmu sebagai manusia mengaku dirimu sebagai Tuhan. Kristus berkata: Tidakkah agamamu ada berkata bahwa kamu juga Tuhan? Waktu dipanggil Tuhan itu kepada mereka yang diberi wahyu maka orang yang telah dikirim Tuhan ke dunia sesudah dimuliakannya, maka betapa kalian berkata dia bercakap curang. Itulah sebabnya aku berkata aku ini 'putera Tuhan'. Ini serupa dengan panggilan terhadap lain-lain nabi di dalam Kitab Taurat dan lain-lainnya. Maka serupa itulah pula aku dipanggil 'putera Tuhan'. Jadi," kata Isabella, "saya ingin bertanya nabi yang manakah sebelum Jesus yang dipanggil Tuhan? Orang-orang Kristian percaya bahwa nabi-nabi yang terdahulu itu dipanggil Tuhan sebagai kiasan dan kerana kasih dan saya berkata dalam bentuk kiasan yang sama pula dan kerana kasihkan Jesus Kristus maka dia dipanggil Tuhan dan bukan kerana dia benar-benar Tuhan seperti yang didakwakan."
"Gadis terkutuk!" Michael sudah tidak dapat membendung kemarahan lagi. "Kamu sudah suka bercakap. Daripadaku kamu belajar, sekarang kamu berani bertanyakan erti ayat-ayat itu kepadaku seolah-olah aku terlalu bodoh dan kamu seorang terpelajar. Tetapi dengan ini nabi-nabi dulu tidak dapat jadi Tuhan dalam erti sebenarnya kerana mereka itu tidak suci, sedangkan Tuhan Jesus Kristus bersih dari dosa dan suci maka sebab itulah dia menjadi Tuhan."
"Kita tidak bercakap tentang dosa atau suci. Soalnya ialah Jesus Kristus menamakan dirinya Tuhan serupa dengan nabi-nabi lain yang menamakan diri mereka Tuhan. Jikalau Jesus Kristus benar-benar Tuhan maka kita pun juga mesti mengakui bahwa nabi-nabi lain itu pun Tuhan." jawab Isabella. "Lagi pula dalam ayat itu Jesus Kristus menjawab tuduhan orang-orang Yahudi. Kalau benar dia putera Tuhan maka ia patut menerima tuduhan Yahudi itu."
"Oh betapa hebatnya! Kamu kini telah menjadi ilmuwan besar sehingga kamu mau meremehkan kami." kata Michael. "Sudah jelas kini kamu telah dipengaruhi. Jikalau Jesus Kristis itu bukan Tuhan tetapi manusia biasa bagaimana dia boleh melakukan penebusan dosa bagi dosa kita semua. Apakah ada manusia yg bebas dari dosa?"
"Saya tidak begitu faham bagaimana bapa membuat peraturan ini bahwa tidak ada manusia yang suci meskipun dalam Injil Lukas bab 1 ayat 6 ada kisah tentang Zakaria dan isterinya. Dalam Injil itu mereka berdua ada disebutkan bahwa Zakaria dan isterinya Elizabet adalah benar di hadapan Tuhan dan hidup menurut segala perintah dan ketetapan Tuhan dengan tidak bercacat. Jadi, jelaslah bahwa Zakaria dan isterinya orang-orang suci jikalau tidak perkataan ''tidak bercacat'' itu tentu tidak ada makna. Jadi, kesucian Kristus bukanlah satu perkara unik. Dia suci seperti sucinya orang lain juga. Tentang masalah penebusan dosa ini juga tidak terdapat bukti di dalam Injil, kerana tidak ada orang yang memikul beban dosa orang lain apatah lagi memikul beban dosa seluruh manusia lalu mati menderita di atas salib. Pada kenyataannya Jesus ada menyebut di dalam Injil bahwa keselamatan diperoleh berdasarkan amalan bukan dengan penebusan dosa, seperti yang tertulis di dalam Injil Matius bab 16 ayat 27: Anak manusia (Adam) akan datang dalam kemuliaan bapanya, diiringi malaikat-malaikatnya, pada waktu itu dia akan membalas setiap orang menurut perbuatannya. Dalam Injil Matius juga bab 19 ayat 16-20, Injil Markus bab10 ayat 17-27, Injil Lukas bab 18 ayat 18-27 ada kisah tentang seorang lelaki datang kepada Jesus dan bertanya: Guru, perbuatan baik apakah yang harus kuperbuat untuk memperoleh hidup yang kekal?"
Jesus menjawab, "Apakah sebabnya engkau bertanya kepadaku tentang apa yang baik? Hanya satu yang baik. Tetapi jikalau engkau ingin masuk syurga turutlah segala perintah Tuhan." Kata orang itu lagi, "Perintah yang mana?" Jesus menjawab "Jangan membunuh, jangan berzina, jangan mencuri, jangan mengucapkan saksi dusta, hormatilah ayahmu dan ibumu dan kasihlah sesama manusia seperti dirimu sendiri." Maka terbukti sekarang daripada ayat-ayat itu bahwa jalan keselamatan hanyalah melalui amalan. Kristus tidak berkata begini sebagai jawaban kepada pertanyaan orang lelaki itu. "Kamu tidak payah lakukan apa-apa kerana aku akan melakukan penebusan dosa untukmu."
"Perempuan! Kau nampaknya seperti mahu mengajar aku," kata Michael menahan kemarahan, "apakah kau tidak percayakan aku lagi. Aku ialah gurumu. Kamu mesti percaya semua kata-kataku. Kalau hanya dengan kebijaksanaanmu saja kamu tidak dapat memahami masalah-masalah agama yang sulit. Nah, perkara penebusan dosa akan kita bicarakan kemudian. Sekarang kita selesaikan masalah ketuhanan Jesus Kristus dulu. Orang-orang Islam juga percaya bahwa Kristus telah diangkat ke langit hidup-hidup. Apakah ini bukan bukti tentang ketuhanannya? Jesus telah memperlihatkan mukjizat-mukjizat yang agung. Dia menghidupkan orang mati, memberi celek kepada orang yang buta. Bukankah perkara-perkara ini membuktikan ketuhanannya? Perkara yang utama ialah kamu mesti lebih dulu menerima atau menolak ketuhanan Jesus kemudian baru kita bercakap perkara lain."
"Soal penebusan dosa tuan dulu yang memulakannya dan saya ikut membincangkan saja. Kalau Jesus Kristus boleh menjadi Tuhan kerana dibawa ke syurga hidup-hidup maka Elia juga patut menjadi Tuhan. Sebab menurut Injil dia juga dibawa hidup-hidup ke syurga.* Tentang Jesus menghidupkan orang mati dan memberi celek kepada orang yang buta, maka itu pun belum boleh dijadikan bukti yang dia adalah Tuhan sebab nabi-nabi lain juga ada memperlihatkan mukjizat mereka seperti yang sudah jelas disebutkan di dalam Injil. Kalau mukjizat serupa itu boleh menjadikan dia Tuhan, maka nabi-nabi lain juga Tuhan, tentunya." kata Isabella.
*lihat 11 Raja-Raja bab 2:1-8 'Elia Naik ke Syurga'
"Lihat! Betapa pandainya budak perempuan ini menipu." kata Peter. "Hai perempuan bodoh! Mukjizat yang ditunjukkan oleh nabi-nabi lain itu bukanlah kekuasaan mereka sendiri tetapi kekuasaan yang diberikan Tuhan. Mukjizat Kristus adalah dari kekuasaannya sendiri, yang menunjukkan bahwa dia adalah Tuhan."
"Mukjizat bukan bukti kenabian apalagi mahu disebut sebagai ketuhanan," jawab Isabella, "menurut agama Kristian bukan satu kemestian seseorang yang melakukan mukjizat itu nabi. Jadi, kalau nabi saja masih belum boleh dipanggil bagaimana pula dia mahu menjadi Tuhan. Jesus pernah berkata: "Saya dengan berterus-terang memberitahu kamu, barangsiapa beriman dengan saya, juga akan ikut membuat amalan seperti saya beramal, malah lebih hebat lagi*. Tentang dakwaan tuan bahwa mukjizat Kristus adalah kekuasaannya sendiri, sementara yang lain didapati dengan paksaan, ini juga dakwaan yang salah. Kitab Injil telah membuktikan bahwa tidak saja dalam melakukan mukjizat, dalam semua perkara yang lain pula pun Jesus tidak berdaya seperti nabi-nabi yang lain juga. Kerana apabila Jesus mahu melakukan mukjizat dia lebih dulu memohon bantuan daripada Tuhan. Dalam mukjizat roti dan ikan, dia menengadah ke langit dan mengucap berkat*, meminta pertolongan Tuhan dan ditempat lain pula dia berkata, "Jenis ini tidak dapat diusir kecuali dengan berdoa." Jesus menyembuhkan orang tuli. Dia masukkan jarinya ke telinga orang itu lalu dia meludah dan meraba lidah orang itu kemudian menengadah ke langit Jesus menarik nafas. Jadi, dia berdoa juga kepada Tuhan*. Jadi dari Injil sendiri ada bukti bahwa Kristus serupa juga dengan orang lain, tidak ada kuasa untuk berbuat sesuatu. Kalau dia benar-benar Tuhan tentulah dia tidak terlalu lemah untuk berbuat sesuatu dan meminta bantuan daripa orang lain. Sebagai Tuhan maka dia bebas melakukan apa saja seperti Tuhan yang Maha Berkuasa."
* Injil Jonah, bab 14:12 *Injil Matius, bab 14:13-21; Markus 6:30-44; Lukas 9:10-17; Yoh 6:1-13 * Injil Markus 9:29 *Injil Markus 7:31-35
Isabella lalu mengambil Injil dan membuka.
"Jesus Kristus berkata: Kerana bapanya telah bersenyawa di dalam dirinya dan bapanya juga memberikan kepadanya kekuasaan untuk melakukan keadilan kerana dia dilahirkan sebagai manusia*. Malah nyawa Jesus Kristus juga bukan haknya sendiri tetapi diberikan oleh Tuhan dan Tuhan pula yang memberikan kekuasaan kepadanya untuk melakukan keadilan. Tanpa rahmat Tuhan, keadilan apapun tidak dapat dilakukan olehnya. Hujah saya, Jesus adalah manusia dan manusia tidak akan dapat berbuat sesuatu tanpa pertolongan Tuhan. Di tempat lain Jesus pernah berkata: Saya tidak dapat berbuat apa-apa sendirian, saya berbuat keadilan seperti yang saya dengar dan pengadilan saya adalah adil*. Selanjutnya dia berkata: Saya datang dari syurga bukan mahu berbuat menurut sesuka hati saya tetapi berbuat menurut arahan orang yang mengirim saya ke mari. Nah, itulah bukti-bukti bahwa Kristus seorang yang tidak berdaya seperti juga manusia yang lain dan bergantung kepada orang lain tidak boleh menjadi Tuhan, maka Jesus juga bukan Tuhan*."
*lihat Injil Jonah 5:26-27 * lihat Injil Jonah 5:30 *lihat Injil Jonah 16:38
Tidak saja Peter dan Michael yang terperanjat mendengar hujah-hujah Isabella yang lancar itu tetapi rahib yang seorang lagi pun seperti kelu lidahnya, tidak dapat mencelah sedikitpun. Hanya sesudah Isabella berhenti barulah mereka itu tersentak sedar dari pesona. Peter dengan cepat berkata sambil memandang kepada Michael.
"Nah, anda lihat betapa keras sudah anak ini. Orang-orang Islam telah mengajarnya untuk petah berkata-kata. Apakah anda masih berharap dia akan kembali ke jalan yang lempang? Saya fikir tidak ada gunanya lagi kita berhujah dengannya kerana imannya sudah hilang dan dia sudah menjadi ingkar."
"Saya yakin dia telah berada di bawah kekuasaan syaitan." jawab Michael.
Dia lalu berpaling kepada Isabella. "Semua hujah yang kamu katakan itu telah ada jawaban yang jelas dan kamu telah pun membacanya di dalam pelajaran teologi. Ada juga jawaban yang kamu tidak akan faham sama sekali. Dan sekarang, saya tidak mahu menjawab semua pertanyaanmu itu sebaliknya saya mahu tahu apa pendapatmu yang sebenarnya mengenai agama Kristian supaya mudah kami membuat keputusan tentang dirimu. Kamu telah menerangkan dengan jelas tentang pendapatmu mengenai ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Nah, ada apa-apa lagi yang akan kamu tambah."
"Saya tidak pernah menafikan Kitab Injil dan Jesus Kristus. Tetapi apa yang saya katakan ialah menurut ajaran Injil tidak ada bukti bahwa Jesus itu Tuhan dan tidak ada alasan yang munasabah tentang penebusan dosa. Semua itu hanyalah rekaan orang-orang Kristian saja." jawab Isabella.
"Jadi maksudmu semua penganut Kristian penipu dan semua penganut Kristian telah bersatu menentang Kitab Suci Injil?" Michael mengherdik. "Gadis terkutuk isi neraka! Kalau au tidak dapat memahaminya, terima saja keputusan yang telah dibuat oleh ketua-ketua agama. Bapamu yang menjadi ketua paderi mempunyai kuasa penuh untuk mengampunkan dosa, apakah dia juga menganggap semua ini salah? Apakah semua paus, rahib, alim ulama Kristian dan hamba abdi agama Kristian berjalan di jalan yang salah?"
Isabella sedikitpun tidak terpengaruh dengan herdikan Michael, malah dia dengan tenang menjawab, "Seperti Kitab Injil yang tidak membuktikan ketuhanan Kristus dan penebusan dosa maka serupa itulah pula agama Kristian dari orang-orang yang mengaku Kristian hari ini tidak wujud menurut Injil. Oleh sebab itu pendapat mereka tidak dapat saya terima sebagai bimbingan."
"Hebat sekali!" kata Michael. "Kami sekarang semuanya penganut-penganut Kristian yang palsu dan tidak wujud sedangkan kamu adalah penganut Kristian tulen dan sejati. Gadis malang! Ke manakah sudah pergi fikiranmu yang waras? Kamu telah membuang orangtuamu. Tunjukkan bukti bahwa kami ini bukan Kristian sejati?"
"Tidak ada sebab bapa mesti naik darah." ujar Isabella. "Perkara ini sudah cukup jelas. Andaikata bapa dapat membuktikan dari Injil bahwa penganut-penganut Kristian zaman moden ini benar-benar Kristian maka saya dengan seluruh jiwa raga akan menerima keputusan itu dan tidak akan mengemukakan hujah apa pun jua terhadap mereka menurut Injil. Jadi, bapa buktikanlah menurut Kitab Injil bahwa orang-orang Kristian sekarang adalah Kristian tulen."
"Di seluruh dunia ada orang Kristian dan kamu berani mengatakan bahwa mereka itu bukan Kristian menurut Kitab Injil. Apakah ada bukti lain lagi? Bukankah ini sudah bukti yang cukup bahwa kami beriman Injil, berimankan ketuhanan Jesus dan penyalibannya?" kata Michael.
"Tidakkah orang-orang Islam itu percaya Kitab Injil?" tanya Isabella. "Bolehkah bapa mengatakan bahwa mereka itu juga penganut Kristian? Tentang kepercayaan kepada ketuhanan Kristus dan penebusan dosa maka itu bukanlah hujah-hujah akan keagamaan Kristiannya. Sebaliknya ia membuktikan bahwa orang itu bukanlah penganut Kristian sama sekali kerana tidak ada garis-garis kepercayaan serupa itu di dalam Injil."
"Kau gadis tak berguna!" sampuk Peter. "Kenapa kamu menimbulkan keraguan kepada agama Kristian kami? Kalau kami ini bukan Kristian cuba kamu tunjukkan Kristian yang sebenarnya. Katakan saja di mana di dunia ini orang-orang Kristian sejati dan tulen itu ada."
"Bapa boleh marah sebanyak mana yang bapa suka," kata Isabella, "tetapi yang benar itu tidak dapat bapa sembunyikan. Kalau bapa mahu buktinya dari saya maka saya dengan tulus ikhlas mengatakan bahwa orang-orang Kristian sekarang ini bukanlah penganut Kristus sama sekali dan tentang siapa yang boleh menjadi penganut Kristian tulen saya bersedia membuktikannya menurut Kitab Injil sendiri."
"Gadis terkutuk!" Michael menjerti. "Kenapa kau membebel-bebl saja? Kenapa tidak tunjukkan bukti-buktinya?"
Isabella tersenyum kecil yang menyebabkan paderi-paderi itu menjadi bertambah jengkel dan sakit hati melihatnya.
Dengan tenang dia mengambil Injil sambil berkata, "Cuba dengar baik-baik tentang tanda-tanda penganut Kristian yang sebenarnya."
Isabella lalu membaca Injil Markus pada bab 6 ayat 17 dan 18: "Dan di antara manusia yang beriman maka mukjizat-mukjizat ini akan berlaku: Mereka akan mengusir roh jahat dengan menyebut namaku, mereka akan bercakap dengan bahasa baru, mereka akan memegang ular, mereka tidak akan terkena bisa kalau meminum benda-benda yang boleh membawa maut, mereka akan meletakkan tangan ke atas orang sakit dan menyembuhkan penyakitnya."
Isabella kemudian membuka pula Injil Matius pada bab 16. "Ini tanda-tanda penganut Kristian yang beriman."
Dia lalu membaca ayat 16 hingga 20. "Pengikut-pengikut mendekati Jesus dan berkata: Kenapa kami tidak dapat mengusir roh-roh jahat itu? Dia menjawab kerana kecacatan dalam imanmu kerana terus terang aku katakan kalau padamu ada iman walaupun sebesar atom dan kamu menyuruh gunung itu pindah dari tempatnya, dia akan pindah dan tidak ada yang mustahil bagimu. Nah," kata Isabella, "Daripada kedua-dua kutipan Injil ini, ada enam tanda Kristian yang sudah dipastikan:
1. Mengusir keluar roh jahat. 2. Bercakap dengan bahasa baru tanpa mempelajarinya. 3. Memegang ular yang berbisa. 4. Meminum racun tanpa memudaratkan diri. 5. Menyembuhkan penyakit dengan sentuhan tangan dan 6. Mengubah gunung dari tempatnya. Jadi, barangsiapa yang mengaju menjadi Kristian mestilah dapat membuktikan bahwa keenam-enam tanda ini ada di dalam dirinya. Sekarang, bapa adalah seorang Kristian, kita tolak sebelah dulu keenam-enam tanda itu dan sembuhkan seorang sakit dengan sentuhan tangan bapa, gunung tentu tak mungkin bapa pindahkan tetapi ini ada seketul batu. Cuba gerakkan saja kira-kira 10 atau 20 meter, maka kekristianan bapa telah dibuktikan oleh Injil."
"Memang benar semuanya itu ada disebutkan di dalam Injil tetapi tunjukkan pula tempat yang mengatakan sesiapa yang tidak melakukan mukjizat itu bukan Kristian? Selain daripada itu, tanda-tanda tersebut hanya khas kepada pengikut-pengikut Kristus yang dua belas itu saja bukan kepada semua orang."
"Kedua-dua keterangan bapa itu salah." kata Isabella. "Dalam Injil sudah jelas dinyatakan bahwa setiap orang Kristian walaupun imannya sebesar atom, boleh dapat memindahan gunung kalau dikehendakinya, diikuti dengan sesiapa yang tidak ada iman walaupun sebesar atom tidak akan dapat memindahkan gunung. Dan juga salah mengatakan bahwa tanda-tanda ini hanya khas untuk pengikut-pengikut Kristus yang dua belas itu kerana di dalam Injil ada disebutkan dengan jelas bahwa mukjizat ini diberikan kepada semua orang yang beriman. Kalau tanda-tanda ini hanya dikhususkan kepada pengikut-pengikut Kristus saja, maka keimanan pun hanyalah kepada pengikut-pengikut itu saja yang bererti tidak ada Kristian tulen yang dilahirkan sesudah pengikut-pengikut itu."
"Kau gadis malang!" ujar Peter. "Itulah sebabnya telah kukatakan bahwa kamu tidak dapat memahami misteri dan inti erti Injil. Gadis bodoh! Mukjizat itu ada kaitannya dengan masalah-masalah rohani iaitu dengan sebutan penyakit ertinya penyakit rohani, racun bererti kufur yang dimaksudkan kepada orang-orang Kristian walaupun mereka diserang oleh orang-orang kafir, mereka tidak akan berganjak dari keimanannya dan begitulah seterusnya."
"Fikir dulu masak-masak sebelum bapa menjawab," kata Isabella, "bapa kata saya bodoh tetapi topik itu mungkin tidak padan dengan bapa. Dengar kata Jesus Kristus seperti tertulis dalam Injil Jonah 14:12 ini. Barangsiapa beriman dengan aku akan melakukan kerja yang aku lakukan. Jadi, Kalau mukjizat itu ditafsirkan sebagai masalah rohaniah semata-mata maka kesimpulannya ialah Kristus tidak menghidupkan yang mati, juga tidak mencelekkan mata yang buta, juga tidak menyembuhkan yang sakit tetapi dia cuma menyembuhkan rohaniah yang mati, roh jahat dan mebina di dalamnya cahaya keimanan. Tetapi bapa-bapa tidak mahu mengaku interpretasi tentang Kristus serupa ini, jadi mengapa pula bapa-bapa reka tugas baru untuk orang lain? Kristus berkata 'kerja yang aku lakukan', jadi apa yang dilakukan olehnya dalam bentuk bagaimanapun juga, penganut-penganut Kristian mesti ikut melakukannya dan dalam bentuk yang sama pula, kalau tidak mereka itu tidak beriman."
"Memang susah mahu membuat gadis yang ingkar ini mengerti." kata Peter. "Ubatnya bukan lagi dengan desakan tetapi seksaan yang sama yang dilakukan oleh inquisisi*."
Kemudian Peter berkata kepada Michael "Anda usir dia dari rumah ini dan beritahu bapanya yang suci bahwa dia sudah tidak dapat diubati lagi. Cara lain mesti dilakukan."
Dengan mengucapkan kata-kata itu, Michael dan Peter bangun dari kerusi lalu masuk ke dalam bilik sebelah untuk berbincang.
Setelah bapanya dan Peter masuk ke bilik sebelah, Mirano pun segera menemui Isabella dan menasihatinya supaya meninggalkan rumah itu seberapa cepat yang boleh, kalau tidak dia pasti akan mendapat kesusahan besar. Sebelum Isabella keluar mereka lebih dulu berjanji akan berjumpa di Taman Cordova pada petang itu untuk memikirkan tindakan selanjutnya yang akan mereka lakukan. Setelah berteguh-teguhan janji, Isabella pun segera keluar dari rumah Michael, lalu terus pulang ke rumahnya. Dalam masa dia menghayun langka, fikirannya melayang ke rumahnya. Apa gerangan yang akan menunggunya di sana? Bagaimanapun ketika dia sampai, ibunya menyambut dengan muka manis dan memaksanya makan sedikit. Setelah makan, Isabella meminta izin kepada ibunya untuk masuk ke dalam bilik. Fikirannya agak runsing sedikit, sehingga dia tidak dapat berfikir apa yang patut dilakukan pada waktu itu. Jadi, sementara menunggu hari petang, dia berlengah-lengah di tempat tidurnya. Dia melihat perpustakaannya yang penuh dengan berbagai-bagai buku dan barang-barang miliknya dengan perasaan sayu. Dia kemudian melayangkan pemandangan ke setiap sudut bilik itu. Fikiran berkelana jauh. Apakah dia akan ditakdirkan tinggal di situ lagi atau ada orang lain yang akan menempati dan menggunakan semua buku dan barang-barangnya? Kemudian bawahsedarnya berkata: Biarlah sesiapa pun membaca bukunya dan menggunakan barang-barang miliknya, tinggal di bilik itu, dia akan pergi mencari kebenaran yang kini sudah dapat dicapai puncanya. Allah akan membimbingnya. Rasa syukur tidak terkira banyaknya kepada Dia yang telah menganugerahkan kepadanya nikmat kebenaran yang begitu besar dan tidak ada yang lebih besar daripada itu. Beribu-ribu buah rumah serupa itu boleh dikorbankan demi untuk memperoleh rahmat Islam. Sambil berkata-kata, Isabella lalu duduk bertelut di lantai. Kemudian, dia melakukan sujud syukur kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Petang pun menjelang tiba setelah ditunggu dengan penuh harapan oleh Isabella. Memang nasibnya baik, pada masa itu ibunya sedang sibuk membuat sesuatu urusan di dalam biliknya. Isabella pun keluar perlahan-lahan menuju ke rumah gurunya, Michael. Dia mendapati Mirano sudah siap menunggu. Mereka lalu berjalan bersama-sama menuju Taman Cordova. Di dalam perjalanan, Mirano dalam diam-diam memperhatikan perubahan pada diri sahabatnya. Wajahnya murung tidak seperti biasa.
"Isabella," ujar Mirano, "aku lihat anda di dalam kesusahan besar. Kenapa? Karena anda mau berpisah dengan keluarga?"
"Aku di dalam keadaan yang sulit setelah pulang dari rumah anda tadi." jawab Isabella. "Waktu aku hendak keluar kalau tidak karena ibuku sibuk di biliknya, aku tentu tidak dapat memenuhi janji kita ini. Tuhan saja yang mengetahui apa yang akan dilakukan olehnya. Tetapi sekarang dengan rahmat Allah, aku tidak khuatir lagi. Aku sudah bersedia menghadapi apa jua percubaan demi kebenaran."
"Isabella," kata Mirano, "aku sangat kagum dengan anda. Anda telah memberikan pukulan yang hebat waktu menjawab hujah-hujah bapaku dan Peter. Mereka semua tercengang-cengang, tidak dapat menjawab. Hairannya, hujah-hujah anda semuanya berdasarkan Kitab Injil."
Mereka sudah sampai di taman dan di sana sahabat mereka, Catherine dan Martha, sedang menunggu.
"Dari jauh kami melihat anda berdua sangat asyik bercakap." tegur Martha. "Bolehkah kami ikut tahu sama?"
"Kami bercakap tentang perbahasan Isabella dengan bapaku dan Peter pagi tadi." jawab Mirano.
"Bapamu dan paderi tua itu seperti tidak dapat berhujah dengan Isabella." kata Martha. "Rahib yang seorang lagi itu siapa agaknya? Dia diam saja."
"Aku tidak pernah melihatnya sebelum ini." kata Isabella.
Pada waktu itu barulah mula terfikir olehnya tujuan rahib itu ikut serta mendengar perbahasan. Air mukanya pun berubah.
"Kenapa muka kau pucat tiba-tiba?" tanya Mirano.
"Oh, tidak ada apa-apa." jawab Isabella cuba menyembunyikan kebimbangannya. "Apa yang kau mau katakan tadi, Martha?"
"Aku hairan," ujar Martha yang tidak sedar akan perubahan pada wajah Isabella. "walaupun mereka itu telah terpukul begitu hebat, mereka masih tetap tidak mahu mengaku."
"Mereka mungkin tidak mengaku dengan lidah tetapi aku percaya hati kecil mereka membenarkannya." jawab Mirano. "Sesudah kalian meninggalkan rumahku tadi, aku mendengar bapaku berkata kepada Peter bahwa memang benar tidak ada bukti tentang ketuhanan Kristus di dalam Injil. Tetapi biar bagaimanapun kita terpaksa patuh kepada keputusan gereja, kata bapaku. Aku nampak Peter terpengaruh dengan ketegasan hujah-hujah anda karena dia berkata semua hujah-hujah anda itu cukup kuat."
"Dalam perbahasan pagi tadi, Islam terbukti agama yang benar, sementara agama Kristian tidak ada apa-apa kecuali kesesatan saja." kata Martha seperti mengeluh.
Setelah mereka duduk di suatu tempat yang agak terpencil dari orangramai, Mirano lalu bertanya kepada Isabella.
"Apakah anda sudah membuat keputusan mahu meninggalkan bapa, mama, adik-adik dan abang-abang dan kaum keluarga serta kehidupan selesa serba mewah? Dan apakah tindakan anda kalau bapa anda berkeras mau menyerahkan anda kepada inquisisi?"
Mendengar pertanyaan Mirano itu, Martha dan Catherine memandang muka Isabella sambil menunggu jawaban dengan hati yang berdebar-debar walaupun jawabannya itu telah mereka duga dari awal. Isabella memegang bahu Mirano sambil memandang muka Martha dan Catherine.
Dia berkata dengan suara yang tetap dan perlahan, "Aku kini telah membebaskan diriku daripada semua fikiran yang bukan-bukan. Allah telah menganugerahkan kepadaku nikmat Islam dan Dia juga akan membimbing aku menjalani hari depanku serta tidak akan mensia-siakan niat yang baik. Aku menemui ketenangan yang luarbiasa daripada ayat-ayat Al-Quran yang maksudnya begini: Barangsiapa yang takut akan Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keselamatan dan akan memberikan kepadanya rezeki dari tempat yang sama sekali tidak disangka-sangkanya."
Ketiga-tiga sahabatnya diam terpegun mendengar kata-katanya. Sejurus lamanya, apabila tidak ada yang berkata-kata, Mirano memecah kesepian dengan bertanya, "Anda berjanji akan membawa kami menemui Ziad bin Umar dan kawan-kawannya. Bila?"
Isabella seperti tersentak. "Kalau kita mahu pergi ke sana, kita mesti pergi lebih awal sedikit. Jadi, lebih banyak ilmu yang kita dapat dan tidak akan terlalu lewat pulang ke rumah."
"Anda mahu memberitahu kepada Ziad tentang perbahasan anda pagi tadi?" tanya Mirano.
"Ya. Kenapa pula tidak?" balas Isabella. "Nah, mari kita bertolak sekarang dan sampai di sana waktu solat isyak. Kita duduk kira-kira satu jam sebelum kita pulang."
Isabella dan sahabat-sahabatnya keluar dari Taman Cordova. Mereka mengambil jalan yang menuju ke masjid besar Cordova. Dalam perjalanan, Isabella memberitahu sahabat-sahabatnya bahwa walaupun pada batinnya dia sudah menjadi Islam tetapi dia belum lagi secar rasmi menganutinya. Dia akan memeluk agama itu melalui Ziad bin Umar. Dengan demikian, Allah akan lebih menguatkan lagi imannya, memberi dia keberanian dan seluruh jiwaraganya akan diserahkan kepada Allah. Semua sahabat-sahabatnya sangat gembira dan mengucapkan tahniah di atas niatnya yang baik. Mereka lebih dulu singgah di rumah Umar Lahmi yang bersambung dengan tempat kediaman Ziad bin Umar. Kedatangan mereka telah diberitahu kepada Ziad oleh Umar Lahmi.
Selesai solat isyak, maka berhimpunlah cerdikpandai, alim ulama, para pengikut , ahli Hadis, penyair, penulis, ahli akademik dan para cendekiawan. Setelah bertukar-tukar khabar, Umar Lahmi meminta kebenaran Ziad untuk menjemput anak-anak gadis yang sedang menunggu di rumahnya. Ziad dengan segera memberi persetujuan. Anak-anak gadis itu pun dibawa ke hadapannya. Mereka masuk dengan penuh hormat dan tertib. Masing-masing mengambil tempat duduk di atas hamparan agak jauh sedikit di hadapan Ziad bin Umar. Setelah bertanyakan khabar tentang keadaan mereka, Isabella pun menceritakan kisah perbincangan dengan bapanya, ketua paderi dan lain-lain paderi serta kisah perbahasan dengan gurunya, Michael dan Peter tentang masalah lain dan hujah-hujah yang dikeluarkan olehnya. Para hadirin menyambut keterangannya itu dengan perasaan gembira dan mereka mengucapkan tahniah di atas keberanian Isabella. Mereka turut mengagumi ilmunya yang luas.
"Tuan yang dihormati," kata Isabella kepada Ziad sesudah itu, "perkara ini sudah pun berlaku dan akibatnya akan kita lihat kemudian tetapi sekarang saya mohon tuan Islamkan saya secara rasmi supaya saya dapat ikut dalam persaudaraan Islam sedunia, yang mengimankan Allah yang Esa."
Mendengar permohonan Isabella itu, Ziad pun memanggil Isabella supaya dekat dengannya. Disuruh Isabella membaca kalimah syahadat yang memang sudah lancar dihafal oleh Isabella. Seluruh hadirin menadah tangan sambil berdoa dengan penuh keikhlasan agar Isabella diteguhkan iman dan menjadi hamba yang berbakti.
"Anakku," ujar Ziad setelah selesai doa diaminkan, "kini kamu telah rasmi menjadi umat Muhammad, penganut Islam. Maka sebagai wanita Islam, tutuplah kepalamu. Menurut ajaran Islam, wanita-wanitanya mesti selalu melindungi wajah dan mengerjakan solat lima kali sehari yang diwajibkan ke atasmu. Kamu tidak boleh meninggalkannya walaupun dalam keadaan yang bagaimana juga kerana ia adalah pintu kebahagian."
Kemudian Ziad memandang kepada sahabat-sahabat Isabella. "Jadi, inilah kawan-kawanmu?"
"Ya, tuan." jawab Isabella berpaling memandang sahabat-sahabatnya yang sedang duduk dan takjub dengan perhimpunan yang dirasakan amat berlainan dengan perhimpunan alim ulama agamanya.
"Itu Mirano, anak guru saya, Michael. Yang satu lagi Martha dan Catherine. Hanana tidak datang."
"Apakah mereka masih ragu terhadap Islam?" tanya Ziad.
"Mereka tidak sedikit pun meragui akan kebenaran Islam dan seperti saya, mereka telah mempercayainya. Bila dikehendaki Allah, mereka dengan rasmi akan menyatakan keislaman masing-masing. Mirano barangkali ada yang mahu ditanyakan dan semuga saudara Umar Lahmi dapat menolongnya. Dia akan datang ke mari selalu untuk belajar."
"Nampaknya sikap bapa saudara akan semakin keras terhadap saudara. Tidak menghairankan kalau satu masa nanti saudara diserahkan kepada inquisisi." kata Umar Lahmi. "Michael dan Peter tentu telah melaporkan kepada bapa saudara. Bapa saudara tentu sudah bersikap antagonis sekarang ini. Apa yang telah saudara fikirkan tentang hal ini?"
"Saya fikir pun begitu. Waktu perbahasan pagi tadi, ada seorang rahib tua yang ikut serta. Saya fikir dia dari panel inquisisi. Allah lebih mengetahui apa yang akan terjadi. Saya telah menyerahkan masalah saya kepada Allah. Namun kalau bapa saya terlalu menekan, ada kemungkinan saya pindah ke rumah tuan." jawab Isabella.
"Saudara boleh pindah ke mari bila-bila masa saja." jawab Umar Lahmi. "Bagaimanapun saudara terpaksa melakukannya pada suatu hari nanti kerana orang-orang Kristian itu agak kolot sikapnya, mereka akan menekan saudara dan tidak akan membiarkan bebas begitu saja apabila mereka mengetahui saudara telah memeluk Islam."
Isabella berkata kepada Ziad bin Umar, "Tuan yang mulia. Doakan saya agar Allah memberikan ketabahan dan kesabaran. Sekarang saya minta izin pulang dulu."
Ziad bin Umar dan semua hadirin mengucapkan selamat jalan kepada Isabella dan sahabat-sahabatnya sambil memanjatkan doa agar mereka sentiasa di dalam perlindungan Allah.
Setelah meninggalkan rumah itu, Isabella dan sahabat-sahabatnya pulang ke rumah masing-masing sambil berteguh-teguh janji akan bertemu lagi. Apabila sampai di rumah, ibunya menunggu seperti biasa dan tidak banyak bertanya. Mereka lalu makan bersama-sama. Setelah selesai, Isabella meminta izin masuk ke biliknya.
Isabella tidur di dalam biliknya yang terletak di salah satu sudut rumah. Lama sebelum fajar menyingsing, dia telah terbangun. Dia tidak keluar dari bilik. Waktu sedang berbaring-baring, kedengaran suara azan sayup-sayup dari menara masjid besar Cordova. Mendengar laungan Allahu Akhbar! Allahu Akhbar! membuat hatinya menjadi terharu. Kebesaran dan kehebatan Allah, kekuasaanNya menyelinap masuk ke dalam hati, menimbulkan rasa takut sehingga tanpa disedari airmatanya meleleh jatuh. Dia lalu turun berlutut di lantai dan mencecahkan dahi ke lantai, bersujud kepada Maha Pencipta bumi dan langit.
"Oh Allah. Berikanlah kepadaku kasihMu dan juga kepada orang-orang yang mendapat rahmatMu. Oh Allah. Limpahkanlah cahaya Islam dan tauhid ke dalam hatiku dan jadikanlah ketaatanku kepada RasulMu sebagai jalan hidupku. Oh Allah. Aku bersyukur kepadamu kerena telah menjadikan aku salah seorang pengikut Rahmat Dunia. Oh Allah. Cucurilah hidayat kepada ibubapaku, keluargaku dan semua orang-orang Kristian dan mereka yang sesat dari rahmat Islam. Berilah kami semua hidup dan mati dalam agama Islam. Oh Allah. Makbulkanlah doa hambamu yang tertekan ini kerana Engkau Maha Mengetahui dan Maha Melihat."
Setelah mengucapkan doa itu, Isabella merasa dadanya menjadi ringan seolah-olah suatu beban yang berat sudah terangkat dan hatinya menjadi terhibur. Dia menemukan suatu perasaan yang penuh dengan kesabaran, kegigihan dan rasa gembira yang amat sangat. Dia terlalu gembira kerana telah dapat memiliki kekayaan Islam dan dengan itu dia tidak lagi merasa takut kerana tauhid telah mengikis semua rasa takut yang ada dalam dirinya kecuali takutkan Allah saja.
Ibu Isabella tidak begitu peramah pada pagi itu. Dia tidak bersarapan bersama-sama anaknya seperti biasa. Isabella sudah menduga bahwa perbahasan antaranya dengan Peter dan Michael telah pun sampai ke pengetahuan bapanya. Mereka tentu telah menyakinkan bapanya bahwa dia sudah murtad dan semua pintu untuk membujuknya kembali dalam pelukan agama Kristian telah tertutup rapat. Dalam keadaan gelisah, Isabella menunggu kepulangan bapanya dari gereja; menunggu hukuman yang akan dikenakan ke atasnya.
BAB 10 Satu Komplotan
Setelah keluar sebentar untuk sarapan, Isabella kembali semula ke biliknya. Ibunya tidak kelihatan dan menurut pembantu rumah, ibunya telah bersarapan awal dari biasa. Isabella tidak mengesyaki apa-apa cuma terasa sudah ada bibit-bibit kerenggangan sudah mula ada. Bagaimanapun tekadnya sudah bulat. Dia sanggup menghadapi apa saja demi untuk mempertahankan keislamannya. Dia tidak akan melepaskan lagi jalan kebenaran yang telah diperolehinya itu.
Dalam masa dia berfikir, pintu biliknya diketuk orang. Ketika dibuka, pembantu rumah memberi sepucuk surat yang bersampul.
"Ini dari pembantu rumah Nona Mirano," katanya, "dia sedang menunggu di luar."
Isabella segera membuka surat. Dia merasa hairan melihat tulisan surat itu bukan tulisan Mirano. Tentu ada sesuatu perkara yang telah terjadi ke atas dirinya, fikir Isabella.
Saudara Isabella.
Aku mesti berjumpa dengan anda segera kerana ada perkara penting yang hendak kusampaikan. Harap anda datang pada waktu ini juga. Jangan lengah-lengahkan lagi, terlalu penting. Aku sedang menunggu di sebuah rumah lain. Datanglah bersama-sama dengan pembantu rumahku ini.
Saudaramu, Mirano
Tanpa mengesyaki sesuatu, Isabella mengikuti pembantu itu. Mereka berjalan melewati Qasrul Syuhada lalu berjalan lurus menuju ke Rabat Ramani. Isabella merasa hairan kerana selama dia berkawan dengan Mirano, mereka belum pernah sampai ke tempat itu. Mirano pun tidak pernah menceritakan kepadanya tentang sesiapa di antara keluarga atau kenalannya yang tinggal di daerah tersebut. Tentu Mirano dalam kesusahan, fikirnya lagi. Tidak jauh dari Rabat Ramani, mereka membelok ke sebuah lorong dan pembantu rumah itu membawa dia masuk ke dalam sebuah rumah yang cukup besar. Sebaik saja Isabella masuk, pintu halaman ditutup. Begitu juga dengan pintu depan. Isabella dibawa ke sebuah bilik. Apabila pintu bilik ditutup, barulah Isabella sedar bahwa dia telah ditipu dan dijadikan tawanan. Kesedaran itu telah terlambat. Tiga orang rahib masuk ke dalam bilik menerusi pintu lain. Mereka menolak Isabella dengan menggesanya menuruni anak tangga yg membawa mereka ke bawah tanah. Isabella berpaling untuk berkata sesuatu kepada pembantu rumah Mirano tetapi pembantu itu sudah tiada lagi. Hilang sekelip mata.
Perasaan Isabella menjadi gempar dan sedarlah dia sekarang bahwa dirinya telah berada di dalam cengkaman inquisisi. Kakinya agak berat mahu melangkah turun. Ketika itu juga, salah seorang rahib menumbuk belakangnya dengan kuat. Sebagai seorang gadis yang perwatakannya lemah-lembut, terasa pukulan itu seperti satu batu besar yang jatuh menimpa belakangnya. Dia hampir jatuh tersungkur ke depan.
"Perempuan terkutuk!" sumpah rahib yang memukul tadi. "Jalan cepat! Tengok itu api Tuhan Jesus Kristus sudah tidak sabar lagi menunggu untuk membakarmu, perempuan sial! Kau telah menghina agama Kristian dan menyeret kehormatan bapamu, ketua paderi, masuk ke dalam lumpur."
Isabella yang malang tidak menjawab. Tubuhnya menggigil dan belakangnya terasa terlalu sakit. Dia melangkah turun ke dalam ruang di bawah tanah itu, yang kelihatan kelam dan suram. Dari samar-samar kelam, dia terpandang kerangka manusia berselerak di semua sudut. Ada tengkorak bergantungan di dinding. Salah seorang rahib menyalakan sebuah andang. Setelah itu, dia merapati Isabella.
"Nah, di sinilah tempat tinggalmu supaya kamu tahu akibat permusuhan dengan Tuhan Jesus Kristus, perempuan malang!"
Dia lalu menunjukkan kepada Isabella kerangka manusia.
"Inilah wakil kami yang akan mendera dan menyiksa kamu di sini."
Isabella masih berdiam diri dan merasakan dirinya seperti sedang di dalam satu mimpi ngeri. Rahib-rahib lalu meninggalkan ruang lalu memasang kunci pada pintunya. Mereka beredar ke bilik lain untuk beribadat. Sejurus kemudian, barulah Isabella sedar bahwa dia dipenjarakan sebagai satu seksaan kerana sudah tidak beriman.
Isabella tidak tahu apakah hari masih siang ataupun sudah malam kerana dia merasa sudah begitu lama sekali dikurung di ruang bawah tanah itu. Kemudia dia dibawa keluar untuk diberikan semangkuk kacang tanah yang sudah digoreng dan dikisar lumat dengan segelas air minum. Rahib-rahib masih menghina dan mencacinya. Setelah itu, Isabella dibawa ke sebuah bilik lain. Di dalamnya, Isabella melihat ada beberapa orang rahib sedang dalam keadaan yang amat khusyuk. Tujuan mereka membawa Isabella ke situ agar dapat menyedarkan Isabella tentang keluhuran agama Kristian apabila dia melihat kekhusyukan para rahib.
Isabella memerhatikan dengan penuh minat. Seorang rahib terbaring tidur. Kaki dan tangannya diikat dengan rantai. Seorang lagi memukul-mukul tubuhnya dengan cemeti. Agak ngeri juga dia melihatnya. Terlintas di dalam fikiran mungkin orang itu dianggap ada membuat kesalahan seperti yang dilakukannya tetapi kemudian dia mendapat tahu bahwa semua penyeksaan diri yang dilakukan oleh rahib-rahib ialah suatu cara untuk menundukkan diri sendiri dan penyeksaan diri serupa itu dilakukan atas kemauan rahib itu sendiri. Di dalam sebuah bilik besar yang lain, terdapat patung Mariam Perawan. Di sekelilingnya duduk rahib lelaki dan perempuan, tenggelam di dalam tafakkur. Ada rahib yang tidur menelungkup di atas lantai dan ada yang menangis teresak-esak di sudut-sudut di sekitar dinding bilik. Sebagai usaha untuk menaklukkan diri mereka, mereka berpuasa selama 20 atau 21 hari. Isabella telah mengetahui keadaan itu tetapi inilah pertama kali dia melihat sendiri.
Seorang rahib tua berkata kepada Isabella, "Wahai gadis jahanam! Jikalau kau mahu mendapat keselamatan, amalkan cara hidup sederhana serupa itu dan kamu akan disenangi oleh Tuhan Jesus Kristus."
Isabella tertawa mendengarnya. "Kenapa Tuhan menyuruh hidup serupa itu? Tujuan agama ialah memberikan tugas kepada manusia untuk membuat kebajikan kepada sesama manusia bukan disuruh menggantung diri sendiri di sudut bilik seperti kelawar. Lagi pula menurut anda, Jesus sudah menebus dosa semua orang-orang Kristian maka perbuatan menyeksa diri serupa itu sudah tidak ada gunanya lagi."
Mendengar kata-kata Isabella, mata rahib itu menjadi merah kerana terlalu marah. Dia menumbuk dada Isabella dengan sekuat-kuatnya .
Dia memekik, "Perempuan isi neraka! Kau sudah tidak boleh dipujuk lagi. Pergi duduk di tempatmu. Di sana nanti akan kami ajar!"
Kembali Isabella ke ruang bawah tanah yang dipeuhi dengan tulang-tulang dan tengkorak manusia. Pada mulanya, perasaan Isabella terganggu sedikit dengan keadaan sekitar yang mengerikan. Lama kelamaan dia sedar akan kedudukannya dan mulai dapat menenangkan diri. Dia pasrah dengan apa yang akan dihadapinya di hari depan.
Dikuasainya diri sendiri dan berdoa kepada Allah.
Dalam keadaan yang sunyi sepi begitu, sedikit bunyi saja dapat kedengaran dan Isabella akan memasang telinga. Ruang yang gelap gelita mulai mendapat sedikit cahaya apabila bilah-bilah sinar matahari menembusi masuk dari lubang-lubang kecil yang ada di dinding bilik. Isabella sedar malam sudah berlalu. Tidak lama kemudian, pintu dibuka orang dan seorang rahib membawanya naik ke sebuah bilik yang lebih besar. Dalam bilik itu terdapat patung dua belas orang Pengikut Kristus dan lain-lain patung para martir. Dua orang paderi duduk menghadap ke sebuah meja. Isabella disuruh duduk berdepan dengan paderi-paderi itu. Isabella tahu mereka adalah paderi-paderi termahsyhur di Sepanyol. Dia pernah melihat mereka di rumah bapanya.
Mula-mula, paderi-paderi itu menyumpah-seranah Isabella dengan berbagai-bagai kutukan yang diucapkan dalam keadaan marah. Kemudian mereka menuduhnya murtad, memberi malu kepada bapanya, seorang paderi yang dihormati, mencemarkan agama Kristian dan sebagainya. Setelah itu, baru mereka berlembut dan berdakwah.
"Sudahkah kau masuk Islam?"
"Syukur kepada Allah yang telah memberikan kepada saya nikmat Islam." jawab Isabella.
"Sudah!" ujar salah seorang paderi. "Hentikan puji-pujian kepada Islam. Beritahu kami apakah kau mahu mati dengan kematian yang memalukan ataupun kau mahu kembali menjadi hamba Tuhan yang dirahmati?"
"Setelah menjadi Islam tiap-tiap orang sudah menjadi hamba Tuhan yang dirahmati dan tidak ada orang yang lebih beruntung daripada mereka yang diberi peluang untuk menerima Islam kerana hanya inilah saja agama yang diredhai Allah."
"Jangan memuji-muji agama terkutuk seperti Islam di hadapan kami. Kami cuma mahu mendengar dua perkataan saja, apakah kau mahu mati atau mahu hidup di dalam agama Kristian? Jawab segera kerana nasibmu akan diputuskan pada hari ini juga."
"Betapa penderitaan dan seksaan yang telah dialami oleh martir-martir Kristian pada zaman permulaan dulu, tetapi mereka tidak membuang agamanya." jawab Isabella.
"Mereka telah dibakar hidup-hidup, dicampak ke dalam kandang harimau dan singa dan dipotong dua tetapi mereka tetap berpegang teguh pada kepercayaannya. Andaikata kerana keimanan seseorang itu mesti menghadapi kematian maka itu bermakna dia telah mendapat kerelaan Tuhan dan mendapat kepuasan batinnya sendiri. Saya sekarang sudah berada di jalan yang benar, tidak ada satupun di dunia bahkan kematian juga, dapat memesongkan pendirian saya. Kitab Suci Al-Quran telah mengajar saya bahwa sembahyang saya, pengorbanan saya, hidup dan mati saya semata-mata untuk Allah yang tiada sekutu bagiNya. Saya sudah bertekad untuk tetap mempertahankannya dan saya ternasuk orang-orang yang bertaqwa."
"Jadi bererti kau tidak mahu meninggalkan Islam dan kembali ke dalam kasih Tuhan Jesus Kristus." kata salah seorang paderi itu.
:Nasibmu akan diputuskan hari ini!"
"Apa saja keputusan yang tuan buat, buatlah tanpa takut dan menurut kata hati tuan yang sebenarnya." kata Isabella. "Paling banyak pun, tuan hanya boleh mengambil nyawa saya saja tetapi tuan tidak tahu bahwa saya sebagai hamba Allah, Allah hidup abadi."
"Bila kematian sudah berada di hadapanmu," jawab salah seorang paderi, "barulah kau akan lupa semua ayat-ayat Quran dan Allah serta lain-lainnya. Kami baru boleh mengerti kalau Quran atau Muhammad boleh menyelamatkan kau dari kematian."
Isabella tersenyum kecil.
"Masalah serupa itulah yang telah dikemukakan oleh orang-orang Yahudi kepada Jesus Kristus dulu iaitu kalau dia di jalan yang benar maka dia mesti turun dari salib itu dan menyelamatkan nyawanya. Kini, adakah Kristus di pihak yang salah menurut tuan kerana dia tidak dapat menyelamatkan nyawanya dari kematian ataupun tuan semua telah mengikut jejak langkah orang-orang Yahudi itu."
"Syaitan! Isi neraka! Otak iblis! Tak berguna! Sial!" Paderi itu melenting lalu bangun dan membeliakkan matanya kepada Isabella. "Kau panggil aku Yahudi! Kau diam! Tunggulah kematianmu!"
"Memang baik begitu kalau tuan juga diam dan biarkan saya sendirian. Tuan boleh buat apa yang tuan suka." kata Isabella.
Paderi yang sedang marah memanggil rahib-rahib yang sedang berdiri mengawal Isabella.
"Kurung perempuan ini di ruang bawah tanah itu. Jangan diberi dia makan atau minum. Bapanya telah mengarahkan supaya dia diserahkan kepada inquisisi dan nasibnya akan ditentukan esok."
Mendengar perintah itu, rahib-rahib pun menangkap Isabella dan menolaknya secara kasar. Sambil menyorong-nyorongnya ke hadapan, mereka memukul dan membawanya keluar dari bilik itu. Ketika di luar bilik, mereka lebih berleluasa memukul Isabella hingga dia jatuh tersepuk di atas lantai. Dia ditarik bangun dan didorong sehingga sampai ke ruang bawah tanah. Kemudian, Isabella ditolak masuk hingga jatuh ke lantai lalu pintu ruang itu pun dikunci.
Sudah tiga hari Isabella di dalam kurungan dan tidak sekali pun dibawa keluar lagi. Isabella tetap cekalkan hati dan memberanikan diri. Walaupun pada waktu malam, ketika suasana menjadi hening sepi, tengkorak dan tulang-tulang kerangka manusia menjadikan suasana menakutkan, ketenangan hati yang diperolehnya membuat dia tidak merasa takut. Sayup-sayup sampai ke telinganya, suara ngauman para rahib sedang melakukan ibadat dan adakala kedengaran ucapan, esakan dan raungan rahib-rahib perempuan yang sedang menyeksakan diri mereka.
..............
Berita kehilangan Isabella telah diketahui oleh Mirano daripada pembantu rumah yang telah digunakan oleh komplotan paderi-paderi untuk menculik Isabella. Mirano segera menghubungi Martha, Hanana dan Catherine. Dari penyelidikan mereka, ternyata Isabella telah dikurung dan diseksa di bawah kolong sebuah rumah yang dijadikan sebagai sebuah biara yang letaknya tidak jauh dari Rabat Ramani. Keempat orang gadis itu pun membuat keputusan untuk memberitahu hal itu kepada Umar Lahmi dan Ziad bin Umar.
Pada suatu malam, secara sembunyi-sembunyi, mereka telah ikut hadir dalam satu perhimpunan di rumah Ziad bin Umar. Semua yang hadir terperanjat mendengar berita sedih itu, lebih-lebih lagi Umar Lahmi. Dia tidak memperlihatkan kegemparan hatinya kerana Ziad bin Umar sendiri menerima berita itu dengan tenang dan sabar.
"Demi Allah," kata satu suara di antara para hadirin, "jikalau kita terus bersikap toleran serupa ini, orang-orang Kristian itu akan menjadi penghalang besar kepada dakwah Islam. Isabella yang sudah menjadi saudara kita kini dalam tawanan mereka. Menjadi tanggungjawab tiap-tiap kita untuk membebaskannya walau betapapun juga korbannya."
Seorang hadirin berdiri dan bersuara dengan lantang sekali.
"Dengan izin tuan, saya akan pergi membebaskannya sekarang juga. Malang sekali, saudara kita sedang menghadapi seksaan dan kita duduk berpeluk tubuh. Memang satu kezaliman!"
Umar Lahmi memandang Ziad bin Umar sebelum dia berkata.
"Saudara-saudara, kegemparan dan jerit-pekik tidak dapat menolong kita. Perkara ini sekarang ada di dalam tangan guru kita, Ziad bin Umar. Kita semua akan mengikut apa jua arahannya."
"Tuan Ziad," kata hadirin, "kami menuruti apa saja perintah tuan."
"Arahan saya kepada tuan-tuan semua," ujar Ziad bin Umar, "ialah jangan melakukan tindakan yang terburu-buru yang akan mengakibatkan kematian Isabella. Jika kita mahu, kita boleh mengirim sepasukan tentera tetapi adalah lebih manfaat kalau kita melakukan tindakan yang strategis. Andaikata Isabella di dalam kesukaran maka insya'Allah itu akan mempertebalkan imannya. Iman itu ialah nilai Islam yang hanya dapat dicapai melalui percubaan."
Umar Lahmi lalu memandang kepada Mirano dan sahabat-sahabatnya.
"Nah, bagaimana pula pendapat saudara-saudara sekalian? Sampai setakat mana saudara-saudara boleh menolong Isabella?"
"Sekiranya kami dibenarkan menolong," kata Mirano, "kami dengan mudah dapat melepaskan saudara kami itu dari kesukaran."
"Terima kasih banyak." ujar Umar Lahmi.
"Saudara-saudara, kami beri kebenaran untuk melakukan apa saja bagi membebaskan Isabella." kata Ziad bin Umar.
Setelah mendapat kebenaran dari Ziad bin Umar, keempat-empat anak gadis itu pun meminta diri. Dalam perjalanan pulang, mereka membuat satu rancangan dan berteguh-teguhan janji akan merahsiakan rancangan itu.
1 comment:
cerita yang menarik dan memberi pengetahuan yang meluas tentang dunia kristian...kalo bole masukkanlah kesudahan cerita ini supaya dapat mengetahui kesudahan apa yang akan berlaku terhadap isabella akhirnya..sama dia murtad kembali dengan memeluk agama asalnya atau pun kekal dengan agama islam dan sanggup mati dengan keadan islam..subahanallah
Post a Comment